
Presidennya Adnan Mat berkata, ia bagi mengelakkan berlaku pelanggaran integriti dan rasuah jika berada di tempat sama dalam tempoh lama.
“Had maksimum bertugas serta penggiliran, pertukaran ke unit atau jabatan lain menjadikan penjawat awam tidak berasa terlalu selesa sekiranya bertugas terlalu lama di sesuatu unit atau jabatan. Perasaan terlalu selesa ini bukan sahaja menjadikan penjawat awam tidak kompeten, malah mengundang ke arah penyalahgunaan kuasa.
“Bagi agensi tertutup seperti pihak berkuasa tempatan, skop fungsi tugas boleh diubah setiap 3 tahun atau membuat pertukaran dalaman pada suatu pekan kecil yang lain bagi mengelakkan berada di tempat yang sama sekali gus boleh meningkatkan kompetensi penjawat awam itu sendiri apabila mereka mempunyai kemahiran yang pelbagai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata sekiranya sistem penggiliran atau pertukaran pegawai ke jabatan lain mahu dilaksanakan ia tidak boleh dilakukan terlalu kerap hingga mengakibatkan penjawat awam itu tidak sempat menguasai bidang tugas masing-masing.
Katanya, tempoh minimum perlu ditetapkan bagi memastikan mereka mahir dengan bidang tugas berkenaan serta perlulah bersifat mendidik dan membina bukan semata-mata menghukum.
“Kami memandang serius isu berkaitan pelanggaran integriti dan pecah amanah yang melibatkan penjawat awam di negara ini. Walaupun berasa dukacita, kami berharap perbicaraan adil dan telus perlu diberikan kepada setiap rakyat termasuk penjawat awam itu sendiri bagi memastikan tidak wujud unsur penganiayaan.
“Walaupun telah ditahan, perkara ini tidak membuktikan mereka bersalah sebelum mahkamah membuktikan mereka bersalah, beri ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka,” katanya.
Katanya, Cuepacs tidak akan melindungi individu yang terlibat dengan perbuatan yang melanggar undang-undang negara dan hukuman yang setimpal wajar dikenakan sekiranya individu terbabit terlibat dengan kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Adnan berkata, semua penjawat awam harus sedar dan sentiasa mengingati prinsip atau ikrar sebagai penjawat awam yang perlu berkhidmat untuk rakyat dan negara serta menjadi contoh kepada masyarakat dalam mematuhi setiap peraturan dan undang-undang negara.