110 ditahan dalam keganasan di India akibat catatan hina nabi

110 ditahan dalam keganasan di India akibat catatan hina nabi

Polis melepaskan tembakan peluru hidup bagi menyuraikan penunjuk perasaan selepas menggunakan gas pemedih mata dan baton.

Seorang menteri memberi amaran polis diberi kebebasan untuk menangani penunjuk perasaan. (Gambar AP)
BENGALURU:
Protes ganas tercetus di beberapa kawasan di Bengaluru, selatan India, pada lewat Selasa selepas ribuan orang menyertai demonstrasi jalanan bagi membantah catatan menghina Nabi Muhammad yang dimuat naik saudara seorang ahli politik di media sosial, lapor media tempatan.

Menurut saluran berita wilayah, 2 maut dan 3 cedera selepas polis melepaskan tembakan.

Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan jumlah kematian atau kecederaan.

“Situasi terkawal,” kata polis Bengaluru di Twitter sambil menambah mereka melepaskan tembakan peluru hidup bagi menyuraikan penunjuk perasaan selepas menggunakan gas pemedih mata dan baton.

Saluran televisyen menunjukkan sekumpulan individu yang berhimpun di luar balai polis, bertempur dengan anggota keselamatan dan membakar beberapa kenderaan polis.

Rakaman video menunjukkan kumpulan itu kemudiannya cuba memasuki balai polis, manakala kumpulan lain berhimpun di luar rumah ahli politik terbabit sambil melaungkan slogan, melontar batu dan membakar kenderaan di sepanjang jalan.

Menurut laporan, penunjuk perasaan turut menghalang jentera bomba dan beberapa pengamal media didakwa diserang.

“Tertuduh Naveen ditangkap kerana memuat naik catatan berunsur penghinaan,” kata Pesuruhjaya Polis, Kamal Pant menerusi Twitter sambil menambah 110 orang ditahan kerana membakar kenderaan, melontar batu dan menyerang polis.

Katanya, beberapa pegawai polis cedera dalam kejadian itu.

Polis berkata, perintah berkurung dilaksanakan di kawasan sekitar untuk mengawal pergerakan penduduk.

“Kami sedang menyiasat isu ini dan akan menggunakan rakaman CCTV untuk melihat dalang di sebalik tindakan ganas ini dan akan mengambil tindakan ketat,” kata Menteri Dalam Negeri Karnataka, Basavraj Bommai kepada sebuah saluran berita tempatan.

Sementara itu, seorang menteri, R Ashoka berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan serangan terhadap polis dan media.

“Orang jenis apa yang menyerang polis, media? Polis tempatan diberi kebebasan untuk menangani keadaan itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.