Kaji buka pintu masuk negara pada pelancong mengikut bandar

Kaji buka pintu masuk negara pada pelancong mengikut bandar

Langkah itu dipercayai lebih wajar kerana tidak semua bandar dalam sesebuah negara itu selamat sepenuhnya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedang mengkaji membuka pintu masuk negara kepada pelancong mengikut bandar berbanding mengikut negara, langkah yang dipercayai lebih wajar kerana tidak semua bandar di sesebuah negara itu selamat sepenuhnya.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri berkata langkah itu lebih wajar selepas negara yang sebelum ini dianggap “zon hijau” melaporkan peningkatan kes Covid-19.

“Misalnya Australia. Kita melihat keseluruhan negara itu tidak dapat dilabel ‘hijau’ keseluruhannya kerana Melbourne baru terkena gelombang kedua Covid-19.

“Jadi kita lihat dari sudut Malaysia dengan Perth misalnya. Itu dalam proses perancangan dan proses kajian kita,” katanya di Dewan Rakyat, menjawab pertanyaan Ahmad Maslan (BN-Pontian).

Ahmad ingin tahu sama ada kementerian bercadang membenarkan pelancong dari negara “hijau” masuk Malaysia.

Dalam pada itu, Nancy berkata mengenal pasti negara atau bandar “hijau” tidak memadai dan kementerian bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar untuk mengetahui keadaan semasa.

“Semuanya satu proses berterusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.