Kos kuarantin di institut latihan dikurang kepada RM100 sehari

Kos kuarantin di institut latihan dikurang kepada RM100 sehari

Kos kuarantin di hotel kekal sama, iaitu RM150 sehari.

Ismail Sabri Yaakob berkata, kos kuarantin di ILA lebih rendah berbanding hotel kerana kemudahan di ILA tidak sama dengan hotel.
PETALING JAYA:
Kerajaan mengurangkan kos kuarantin wajib 14 hari di institut latihan awam (ILA) daripada RM150 kepada RM100 sehari bagi individu yang pulang dari luar negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob berkata, kos bagi mereka yang dikuarantin di hotel kekal sama, iaitu RM150 sehari.

“Caj yang dikenakan di ILA lebih rendah berbanding hotel
kerana fasiliti di ILA tidak sama seperti hotel.

“Permohonan untuk dikuarantinkan di ILA tertakluk kepada
ketersediaan bilik memandangkan bilangan yang terhad,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ismail berkata, kerajaan memberi pengecualian kos kuarantin kepada individu daripada keluarga B40 dan banduan tiada sumber kewangan yang baru dibebaskan dari negara jiran.

Ia adalah tambahan kepada pengecualian untuk pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pelajar daripada keluarga B40 sebelum ini.

Beliau berkata, individu daripada keluarga sama, iaitu ibu, bapa dan anak di bawah 12 tahun, boleh dikuarantinkan di bilik sama.

Katanya, individu ke-2 yang berkongsi bilik sama akan dikenakan RM50 sehari untuk kos makan dan minum.

“Bagi kanak-kanak 12 tahun dan ke bawah yang balik dari luar negara tanpa penjaga, mereka akan menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin.

“Bagaimanapun, mereka perlu ditemani seorang penjaga yang berada di Malaysia dan caj ke atas penjaga itu akan ditanggung kerajaan.”

Sementara itu, Ismail berkata, 5 individu dikenakan tindakan susulan 1,434 pemeriksaan mengejut ke atas individu yang menjalani kuarantin rumah semalam.

Katanya, kerajaan memandang serius insiden tidak mematuhi SOP kuarantin rumah yang menyebabkan penularan jangkitan kepada ahli keluarga dan masyarakat.

Beliau berkata, seramai 9,016 individu yang pulang ke tanah air sejak 24 Julai hingga semalam, ditempatkan di 58 hotel dan 5 ILA di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau
Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Perlis, Kedah dan Labuan.

Katanya, mereka pulang dari 31 negara, termasuk Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar dan Timor Leste.

“Daripada jumlah itu, 20 individu dibawa ke hospital untuk rawatan.”

Katanya, seramai 1,599 individu dibenarkan pulang ke rumah selepas selesai menjalani kuarantin wajib 14 hari dan disahkan negatif Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.