
Timbalan Menteri II Wee Jeck Seng mengumumkan pihaknya dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) merancang untuk membina jalan di kawasan luar bandar menggunakan teknologi CMB, dalam usaha meningkatkan pengeluaran getah domestik.
“Pada masa ini hanya 0.1% teknologi ini digunakan di jalan raya seluruh negara. Peratusan ini sangat kecil sebab itu kita cadangkan kerajaan guna teknologi CMB sekurang-kurangnya 10%,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Wee menjawab pertanyaan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang mahu tahu usaha kerajaan meluaskan penggunaan getah dalam pembinaan jalan raya, dan adakah ia akan dapat meningatkan harga komoditi itu.
Dibangukan Lembaga Getah Malaysia pada 2014, CMB yang digunakan untuk penurapan permukaan jalan dikatakan dapat menghasilkan kualiti lebih baik dari segi prestasi jalan, di samping meningkatkan penggunaan getah dalam negara yang akan memberi manfaat kepada pekebun kecil.
Wee berkata projek itu daripada peruntukan RM100 juta dalam Belanjawan 2019, membabitkan pembinaan dan penyelenggaraan jajaran sepanjang 202.6km di 106 lokasi seluruh negara.
“Ia membabitkan penggunaan 450 hingga 500 tan getah dengan anggaran jajaran 202.7km,” katanya.
Beliau berkata, teknologi berkenaan disifatkan masih baru di negara ini dan berharap ia diterima baik oleh semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan.
“Yang penting ketika ini adalah bagaimana kita nak tingkatkan penggunaan getah domestik dan inisiatif penggunaan teknologi CMB ini dapat dikomersialkan secara meluas,” katanya.