
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jangkitan berlaku semasa aktiviti kunjung mengunjung ketika sambutan Aidiladha.
“KKM ingin memaklumkan bahawa 3 lagi kes positif dikesan dalam kluster Kurau. Ketiga-tiga kes positif ini dikenal pasti hasil aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat kes positif kluster ini.
“Setakat ini, kluster ini melibatkan 2 buah negeri, iaitu negeri Perak dan Pulau Pinang.
“Mereka merupakan ahli keluarga kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-9050), iaitu adik, biras dan anak saudara beliau yang berumur 2 tahun.
“Kes pertama mempunyai kontak rapat dengan kesemua kes baru ini semasa aktiviti kunjung- mengunjung menjelang Hari Raya Aidiladha, iaitu pada 30 Julai 2020.
“Anak saudara kes ke-9050 (iaitu kes ke-9093) didapati mempunyai gejala demam dan selesema sejak 30 Julai 2020. Manakala adik dan biras kes ke-9050 tidak mempunyai sebarang gejala.
“Ketiga-tiga kes baru ini dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak,” katanya dalam sidang media hari ini.
Dalam perkembangan sama, Noor Hisham berkata, setakat ini, 125 orang disaring dalam kluster ini.
Daripada jumlah itu, 5 kes dikesan positif Covid-19, 112 negatif dan 8 masih menunggu keputusan.
“Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.
Dalam perkembangan sama Noor Hisham berkata, kluster Sivagangga dan kluster Kurau merupakan 2 kluster yang didapati mencatat pertambahan kes sejak kebelakangan ini, terutamanya selepas musim perayaan.
“Siasatan yang dijalankan melalui aktiviti pengesanan kes secara aktif dan juga saringan ke atas kontak rapat mendapati penularan jangkitan Covid-19 dalam kedua- dua kluster ini sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh aktiviti kunjung-mengunjung semasa musim perayaan.
“Kebanyakan kes positif kedua-dua kluster ini adalah terdiri daripada ahli keluarga. Golongan warga emas dan juga kanak- kanak turut termasuk dalam kes positif dalam kluster ini, iaitu dalam lingkungan umur 2 hingga 70 tahun,” katanya.
Katanya, aktiviti kunjung-mengunjung, walaupun kini dibenarkan, namun masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata, penjarakan fizikal yang selamat sesama individu sewajarnya diamalkan di semua tempat, termasuk di antara ahli keluarga dan sanak saudara.
“Individu yang tidak sihat atau bergejala tidak sepatutnya mengunjungi atau menyertai sebarang kenduri-kendara dan perayaan.
“Sejak 1 Ogos 2020, kerajaan telah mewajibkan orang ramai memakai alat pelitup muka di tempat-tempat awam yang sesak dan sempit.
“Orang ramai juga digalakkan memakai pelitup muka semasa aktiviti kunjung-mengunjung di mana penjarakan fizikal sukar diamalkan. Begitu juga amalan kebersihan kendiri seperti mencuci tangan dengan air dan sabun.
“Nasihat-nasihat ini sekiranya dipatuhi dan diamalkan sepenuhnya dengan disiplin yang tinggi dapat mengelakkan penularan Covid-19 daripada terus berlaku dan menjangkiti orang tersayang,” katanya.
Kluster Kurau yang membabitkan negeri Perak dan Pulau Pinang adalah antara 2 kluster baru diumumkan semalam, selain kluster Meranti.
Kluster Sivagangga mula dikesan di negeri Kedah sejak 13 Julai lalu.