
MADRID: Kelab bola sepak Atletico Madrid pada Ahad mengesahkan 2 individu yang dijadualkan berlepas ke Lisbon pada Isnin untuk menyertai suku akhir Liga Juara-juara didapati positif Covid-19, lapor agensi berita Xinhua.
Kelab itu bagaimanapun tidak mendedahkan sama ada individu terbabit ialah pemain atau kakitangan teknikal.
Mereka disahkan positif virus itu selepas menjalani ujian “Polymerase Chain Reaction” (PCR) pada Sabtu.
Hasil ujian itu sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa kesihatan Sepanyol dan Portugis, UEFA, Persekutuan Bola Sepak Sepanyol, Persekutuan Portugis dan Jawatankuasa Sukan Sepanyol.
Atletico akan menentang RB Leipzig dalam aksi suku akhir pada 13 Ogos ini.