
Katanya, pemeriksaan di kawasannya pada hujung minggu lalu mendapati ada keluarga tidak memakai pelitup muka kerana harganya terlalu mahal bagi mereka.
Katanya, sebuah keluarga yang terdiri daripada 6 orang akan membelanjakan RM216 sebulan bagi pelitup muka untuk kegunaan seharian.
“Ini merupakan kira-kira 20% daripada gaji minimum negara iaitu RM1,200. Senario lain yang mungkin berlaku ialah golongan B40, M40 ke bawah, pekerja asing dan pelarian mungkin akhirnya menggunakan semula pelitup muka untuk mengurangkan kos sehingga membahayakan diri mereka.
“Kerajaan boleh menggunakan kesempatan ini untuk membantu membangunkan industri kotej menghasilkan pelitup muka yang dapat digunakan semula.
“Mereka harus mendorong industri kotej yang berkaitan badan bukan kerajaan (NGO), perniagaan kecil, pengusaha, pengeluar dan sebagainya.
“Dengan cara ini, orang akan mula menghasilkannya pada harga lebih murah untuk kegunaan rakyat,” katanya sambil menambah langkah memulakannya juga akan mewujudkan peluang pekerjaan.

Santiago berkata, Putrajaya boleh memanfaatkan agensi seperti Majlis Amanah Rakyat untuk menawarkan kelas reka bentuk dan jahitan, manakala dana harus disuntik ke dalam penyelidikan dan pengembangan bagi memastikan pelitup muka sesuai dengan standard antarabangsa.
Beliau berkata, pelitup muka yang boleh digunakan semula lebih mesra alam, sambil memaklumkan bahawa rakyat Malaysia membuang kira-kira 10 juta pelitup muka sehari.
Menurutnya, Hong Kong dan Thailand sudah menceburkan diri dalam industri kotej ini, malah Vietnam menghasilkan pelitup muka daripada hampas kopi.
“Mengapa tidak Malaysia? Kita ada batik di sini. Kita boleh menghasilkan pelitup muka yang boleh digunakan semula untuk mempromosikan batik kita,” katanya dalam sidang media hari ini.