
Jumlah kematian kekal 125 orang kerana tiada kematian dilaporkan hari ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata dalam kenyataannya, seorang pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada yang memerlukan bantuan alat pernafasan.
Setakat ini, Malaysia merekodkan 9,001 kes Covid-19 dengan 8,668 daripadanya sudah sembuh.
Dalam pada itu, 208 pesakit kini dirawat di hospital di seluruh negara.
Noor Hisham berkata, 2 kes baru adalah kes penularan dalam negara melibatkan warganegara Malaysia.
“Tiada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara yang dilaporkan pada hari ini.
“Kes penularan dalam negara Covid-19 adalah di Kedah, iaitu 1 kes daripada kluster PUI Sivagangga dan di Wilayah Persekutuan Labuan ada 1 kes saringan rawak di lapangan berkaitan pelajar kolej.
“Beliau tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Labuan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Noor Hisham berkata, sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 425 orang telah disaring.
Katanya, daripada jumlah itu, 21 kes dikesan positif Covid-19, 362 negatif dan 42 kes masih menunggu keputusan.
“Seperti yang diketahui umum, kluster PUI Sivagangga ini merupakan sebuah kluster penularan dalam negara yang berpunca daripada kes import.
“Selain kluster PUI Sivagangga, terdapat juga kluster aktif lain yang didapati berpunca daripada kes import yang tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) yang dilaksanakan dari 10 Jun hingga 23 Julai lalu.
“Kluster tersebut adalah kluster Elsa, kluster PUI Novgorod, kluster PUI Pitakwa, kluster PUI Melbourne, kluster PUI Ramnad, kluster PUI Al Khobar dan kluster PUI Shirala,” katanya.
Noor Hisham berkata, kes indeks kluster PUI Sivagangga merupakan seorang pemilik kedai makan yang pulang ke Malaysia dari India dan dikenakan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.
Katanya, namun demikian, beliau didapati tidak mematuhi syarat-syarat perintah tersebut.
“Ketidakpatuhan ini menyebabkan penularan jangkitan Covid-19 yang meluas dalam kluster ini.
“Penularan ini dikenal pasti melalui aktiviti pengesanan kontak rapat secara aktif yang dijalankan oleh kerajaan,” katanya.
Noor Hisham berkata, Pejabat Kesihatan Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri menghadapi beberapa cabaran dalam menjalankan sepenuhnya aktiviti pengesanan kontak rapat.
Katanya, ini kerana kedai makan yang terbabit didapati tidak menggunakan aplikasi MySejahtera mahupun merekod kehadiran serta suhu badan pelanggan.
“Pada hari ini, 1 kes baru dilaporkan dalam kluster ini. Beliau merupakan pelanggan tetap kedai makan tersebut.
“Beliau menjalani saringan Covid-19 kendiri di sebuah fasiliti kesihatan swasta pada 27 Julai lalu dan keputusan saringan Rapid Test Kit Antibody didapati negatif.
“Pada 31 Julai, beliau mula mengalami gejala demam dan batuk, namun tidak menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Klinik Kesihatan terdekat untuk rawatan segera.
“Hanya 1 hari kemudian, iaitu selepas penglibatan dalam aktiviti semasa Hari Raya Aidiladha, beliau memaklumkan dirinya merupakan kontak rapat kes indeks,” katanya.
Noor Hisham berkata, susulan itu saringan dijalankan dengan menggunakan ujian RT-PCR dan kes didapati positif Covid-19.
“Beliau dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk rawatan.
“Mengambil iktibar daripada kes ini, KKM ingin mengingatkan anggota masyarakat supaya tidak menyimpan atau merahsiakan sebarang maklumat penting seperti kontak dengan kes positif Covid-19 atau maklumat yang berkenaan daripada pihak berkuasa.
“Orang ramai sewajarnya tampil ke hadapan sekiranya berisiko tinggi atau mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19,” katanya.