Turki kecam ‘permusuhan terhadap Islam’ oleh Greece selepas Hagia Sophia dijadikan masjid

Turki kecam ‘permusuhan terhadap Islam’ oleh Greece selepas Hagia Sophia dijadikan masjid

Hagia Sophia dibuka sebagai masjid untuk solat selaras kehendak rakyat dan menjadi milik Turki seperti semua aset budaya di negara itu.

Orang ramai mengambil bahagian dalam demonstrasi di Athens semalam terhadap keputusan menukar Hagia Sophia menjadi masjid. (AP pic)
ISTANBUL:
Kementerian Luar Turki pada Sabtu mengecam kenyataan pegawai Greece dan tunjuk perasaan membakar bendera di negara itu apabila solat pertama umat Islam diadakan di Hagia Sophia, Istanbul selepas 9 dekad.

“Sekali lagi Greece menunjukkan permusuhannya terhadap Islam dan Turki dengan alasan bertindak balas kerana Masjid Hagia Sophia dibuka untuk solat,” kata jurucakap kementerian Hami Aksoy dalam kenyataan bertulis.

Kritikan Greece terhadap penukaran Hagia Sophia kepada masjid selepas beberapa dekad dijadikan muzium mencalarkan lagi hubungan tegang antara negara itu dan Turki.

Loceng gereja dibunyikan di seluruh Greece pada Jumaat ketika Presiden Turki Tayyip Erdogan menyertai solat di bangunan itu.

Dalam mesej sempena ulang tahun ke-46 pemulihan demokrasi Greece, Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis menyebut Turki sebagai “pengacau”, dan penukaran itu sebagai “penghinaan terhadap peradaban abad ke-21”.

Solat Jumaat itu mengesahkan cita-cita Erdogan untuk memulihkan ibadat umat Islam di tempat bersejarah itu, yang dianggap kebanyakan orang Greece sebagai pusat agama Kristian Ortodoks mereka.

Kementerian Luar Negeri Turki berkata, mereka mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan kerajaan Greece dan ahli Parlimennya dan pembakaran bendera Turki di bandar Thessaloniki, di negara itu.

Hagia Sophia dibuka sebagai masjid untuk menunaikan solat selaras kehendak rakyat dan menjadi milik Turki seperti semua aset budaya di negara itu, katanya.

Greece dan Turki tidak bersependapat dalam pelbagai isu, iaitu dari ruang udara hingga zon maritim dan pememecahan etnik Cyprus.

Minggu ini kedua-dua negara turut bersengketa mengenai persempadanan di timur laut Mediterranean, sebuah kawasan dianggap kaya dengan sumber semula jadi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.