Jabatan Kesihatan nafi kes Covid-19 di Melaka Sentral

Jabatan Kesihatan nafi kes Covid-19 di Melaka Sentral

JKNM berkata rakaman suara dan gambar tular itu diambil secara rambang oleh individu tidak dikenali dan kandungannya tidak benar.

Sebelum ini, tular di aplikasi WhatsApp mengenai rakaman suara dan gambar yang mendakwa terdapat beberapa warga asing berketurunan India positif Covid-19 berada di sekitar Melaka Sentral.
MELAKA:
Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) hari ini menafikan maklumat tular di aplikasi WhatsApp kononnya terdapat beberapa warga asing positif Covid-19 di perhentian bas Melaka Sentral, semalam.

Pengarah Kesihatan negeri Dr Ismail Ali berkata, penumpang terlibat merupakan 1 keluarga warga tempatan yang pulang dari luar negara pada 23 Julai lepas melalui pintu masuk antarabangsa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Beliau berkata, semua ahli keluarga berkenaan disahkan negatif Covid-19 semasa menjalani saringan kesihatan di KLIA dan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) ketika dalam perjalanan pulang ke tempat tinggal bagi menjalani kuarantin di rumah.

“Rakaman suara dan gambar tular di WhatsApp itu diambil secara rambang oleh individu tidak dikenali, namun JKNM ingin menjelaskan kandungan rakaman suara terbabit tidak benar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail berkata, laporan polis sudah dibuat bagi menyiasat perkara itu dan orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat atau berita tidak sahih.

Untuk maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara itu, orang ramai boleh menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Melaka di talian 06 2356999/6851 atau e-mel [email protected].

Sebelum ini, tular di aplikasi WhatsApp mengenai rakaman suara dan gambar yang mendakwa terdapat beberapa warga asing berketurunan India positif Covid-19 berada di sekitar Melaka Sentral.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.