
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azmi Sharom berkata, tarikh bagi pengundian awal pula pada 25 Ogos.
Katanya, kos keseluruhan bagi PRK DUN Slim dianggarkan berjumlah RM4.6 juta dan pegawai daerah Muallim, Shamsul Ridzuan Idris dilantik sebagai pegawai pengurus PRK itu, selain dibantu 4 penolong pegawai pengurus.
“SPR akan menggunakan Dewan Sri Tanjung, Majlis Daerah Tanjong Malim sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi rasmi.
“SPR juga bersetuju menubuhkan 2 pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya (PP-KPR) bagi memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi berkempen, yang dianggotai wakil polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan wakil calon bertanding.
“Seramai 689 petugas akan dilantik mengendalikan proses PRK DUN Slim, manakala 13 pusat mengundi yang mengandungi 55 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas bagi PRK DUN Slim di ibu pejabat SPR, Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, daftar pemilih yang akan digunakan bagi PRK itu adalah daftar pemilih induk 2019 yang dikemas kini sehingga 16 Julai lalu mengandungi 23,094 pengundi terdiri daripada 22,815 pengundi biasa, 277 pengundi awal polis dan 2 pengundi tidak hadir luar negara.
“Bermula 5 Ogos, pengundi boleh membuat semakan daftar pemilih bagi mengetahui maklumat pusat dan saluran mengundi serta nombor bilangan mereka melalui laman web SPR, www.spr.gov.my atau menghubungi talian 03 88927018 atau melalui SMS 15888 atau aplikasi MySPR Semak,” katanya.
Bagi memudahkan proses penamaan calon, mereka yang ingin bertanding perlu mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan pejabat pegawai pengurus atau pejabat pilihan raya negeri Perak sebelum hari penamaan calon.
“Bakal calon juga dicadang membuat pembayaran deposit secara dalam talian lebih awal bagi memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya.
Mengenai urusan kempen pilihan raya, beliau berkata, SPR akan memastikan sebarang bentuk aktiviti kempen yang boleh dilaksanakan adalah selari dengan arahan kerajaan, yang berkuat kuasa pada waktu berkenaan.
“Antaranya, jumlah kehadiran peserta bagi kempen pilihan raya melalui ceramah tidak lagi dihadkan kepada 250 orang, tetapi tertakluk kepada saiz keluasan ruang dan penjarakan sosial,” katanya.
Kerusi Dun Slim kosong apabila Khusairi Abdul Talib, 59 (BN), disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung pada 4.15 petang di Hospital Bentong, Pahang, selepas pengsan ketika bermain golf di Awana Genting Highlands Golf and Country Resort.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Slim selama 4 penggal sejak 2004 itu adalah ahli Majlis Tertinggi Umno dan ketua Umno bahagian Tanjung Malim.
Beliau mempertahankan kerusi Dun Slim pada pilihan raya umum ke-14 lalu dengan majoriti 2,183 undi, selepas menewaskan calon PKR, Mohd Amran Ibrahim yang mendapat 6,144 undi dan calon PAS, Zulfadli Zainal yang meraih 4,103 undi