Sekatan ke atas Top Glove tak adil, menteri akan temui wakil AS

Sekatan ke atas Top Glove tak adil, menteri akan temui wakil AS

M Saravanan berkata, agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan AS tidak menghubungi kementeriannya untuk siasatan lanjut ke atas Top Glove.

M Saravanan akan ke Top Glove dalam masa terdekat dan menemui wakil AS untuk membuktikan tuduhan penggunaan buruh paksa oleh agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan itu tidak berasas. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata sekatan agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat ke atas Top Glove tidak adil kerana siasatan Jabatan Tenaga Kerja ke atas dakwaan pengeluar sarung tangan getah itu menggunakan khidmat buruh paksa didapati tidak berasas.

Beliau berkata, CBP juga tidak berhubung terus dengan kementeriannya untuk siasatan lanjut ke atas Top Glove, sebelum melaksanakan sekatan ke atas syarikat itu.

Katanya, sebelum sekatan dilaksanakan ke atas Top Glove, pasukan petugas Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta pasukan petugas perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) menyerbu ibu pejabat Top Glove di Meru, Klang pada 13 Julai lalu.

Beliau berkata, menerusi operasi itu, syarikat terbabit didapati melanggar SOP PKPP, iaitu tidak mengamalkan penjarakan sosial di ruang kerja dan penginapan pekerja yang sesak.

“Ia bukan seperti mana yang dituduh agensi luar negara itu kerana tiada sebarang kesalahan membabitkan elemen buruh paksa dikesan,” katanya selepas menemui Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) hari ini.

Katanya, beliau akan ke Top Glove dalam masa terdekat dan menemui wakil AS untuk membuktikan tuduhan penggunaan buruh paksa itu tidak berasas.

“Top Glove adalah keutamaan ketika ini kerana syarikat ini yang dikenakan sekatan dan didakwa menggunakan buruh paksa, jadi saya sendiri akan turun padang berjumpa mereka.”

Minggu lalu, Top Glove mengesahkan 2 anak syarikatnya, Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd dikenakan larangan eksport produknya ke AS mulai 15 Julai lalu atas dakwaan menggunakan khidmat buruh paksa.

Tetapi, katanya, isu itu sudah selesai dan kini hanya ada satu isu berkaitan bayaran balik yuran pengambilan pekerjanya kepada ejen sebelum Januari 2019 yang berlaku tanpa pengetahuan mereka.

Syarikat itu berkata, pihaknya berusaha membayar balik yuran pengambilan pekerja asing sejak beberapa bulan lalu, dengan memastikan jumlah tepat dibayar semula kepada pekerja bagi pihak ejen sebelum ini.

Hari ini, Saravanan memberi amaran kepada agensi luar supaya tidak campur tangan secara terus, sebaliknya mereka perlu berhubung dengan kementerian terbabit untuk mendapatkan penjelasan dan mengetahui keadaan sebenar sebelum bertindak.

“Sebarang kekurangan dalam industri di Malaysia, saya harap agensi luar negara tidak campur tangan.

“Kementerian menyedari kesan sekatan oleh AS ini akan menjejaskan kredibiliti serta imej negara di peringkat antarabangsa serta mempengaruhi keyakinan pelabur asing.”

Mengulas pertemuan hari ini, Saravanan berkata, 40 syarikat pengeluar sarung tangan tempatan bersetuju mengambil pekerja tempatan bagi mengisi keperluan semasa.

“Keperluan semasa industri sarung tangan adalah 20,000 hingga 25,000 pekerja, jadi saya sudah arahkan mereka iklankan peluang pekerjaan di portal carian pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk menunjukkan keikhlasan mereka.”

Katanya, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan bersama Margma untuk memastikan pematuhan terhadap Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 dalam kalangan majikan dipatuhi dengan baik.

“Elemen buruh paksa juga berkait rapat kemudahan penginapan yang disediakan majikan kepada pekerja, khususnya pekerja asing.”

Pindaan akta itu bertujuan menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang disediakan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia membabitkan piawaian ruang minimum kediaman, kemudahan asas perumahan dan pekerja, elemen keselamatan dan kebersihan yang perlu ditekankan majikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.