
Panel 3 hakim yang dipengerusikan Nallini Pathmanathan berkata, kata-kata mangsa terhadap tertuduh, Yusof Saruan, tidak cukup untuk mencetuskan provokasi serius dan mengejut.
“Tambahan, kelakuan perayu tidak seimbang seperti yang dinyatakan Mahkamah Rayuan.”
Yusof, 49, didakwa membunuh Oh Son Liong di sebuah stesen janakuasa Powertek di Teluk Gong, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, Melaka antara 2.30 petang hingga 10 malam 31 Julai 2013.
Nallini, yang bersidang bersama Vernon Ong Lam Kiat dan Zaleha Yusof, berkata kecederaan dialami Oh adalah kejam dan mengerikan, merujuk beberapa kesan tikaman serta usus mangsa ditemui di luar badan.
“Ini jelas memadai seperti ditunjukkan bukti ahli patologi untuk pembunuhan.”
Beliau juga menolak pembelaan automatisme kerana bukti yang direkodkan menunjukkan Yusof secara mental sedar ketika itu.
“Ini berdasarkan kelakuannya, sebelum dan selepas kejadian itu, di mana dia membawa pisau bersamanya ke tempat kejadian dan merompak barang kepunyaan si mati.”
Katanya, dalam keadaan itu, panel hakim berpuas hati dengan keputusan dan sabitan Mahkamah Rayuan.
“Oleh itu, kami mengesahkan keputusan Mahkamah Rayuan. Rayuan ditolak,” katanya.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, sementara peguam ditugaskan mahkamah, Sukhaimi Mashud mewakili Yusof.
Mahkamah Tinggi pada mulanya mengurangkan pertuduhan membunuh Yusof kepada membunuh tanpa niat dan dihukum penjara 25 tahun.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan mengembalikan pertuduhan membunuh tahun lalu dan mendapati dia bersalah.
Kejadian itu berlaku ketika Oh hendak mengutip hutang daripada Yusof.
Pihak pembelaan mendakwa Oh menggunakan kata-kata kasar dan perkauman terhadap Yusof.