Aktivis C4 ditahan berkait catatan FB tentang mural pemimpin

Aktivis C4 ditahan berkait catatan FB tentang mural pemimpin

Peguam K Sudhagaran Stanley berkata aktivis itu menulis di Facebook tentang perbuatan merosakkan mural wajah pemimpin negara.

Polis mendapat perintah reman sehari ke atas K Sudhagaran Stanley di Mahkamah Majistret George Town hari ini.
GEORGE TOWN:
Aktivis K Sudhagaran Stanley direman sehari berkaitan catatan di Facebook.

Peguam RSN Rayer berkata, Sudhagaran ditahan di rumahnya pada 10 malam semalam dan polis mendapatkan perintah reman itu di Mahkamah Majistret George Town hari ini.

“Kami diberitahu ia berkaitan catatan Sudhagaran tentang mural pemimpin di Shah Alam yang dirosakkan itu.

“Dia dibawa ke lokap polis di Bayan Baru dan prosiding reman akan diadakan di situ,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Sudhagaran kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Sudhagaran adalah penyelaras Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisma (C4) bagi wilayah utara Semenanjung.

Sementara itu, isteri Sudhagaran, Alicia James, berkata sekumpulan 10 orang polis datang ke pangsapuri mereka di Jelutong kira-kira 10 malam.

Katanya, seorang polis beritahu Sudhagaran yang dia ditahan kerana catatan FB baru-baru ini dan 3 catatan FB lain berkaitan perintah kawalan pergerakan.

“Sudhagaran ikut kumpulan polis itu ke kereta mereka,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong mengesahkan Sudhagaran ditahan di balai polis itu.

Beliau berkata kes itu berdasarkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, dan menambah tiada butiran lanjut.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid bagaimanapun berkata Sudhagaran akan disiasat atas dakwaan hasutan, membuat kenyataan yang mendatangkan khianat awam, dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.

Katanya, siasatan dijalankan bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Kami terima aduan terhadapnya daripada Balai Jalan Tun Razak. Dia membuat beberapa kenyataan, termasuk satu kenyataan yang mempertikaikan tindakan polis semasa perintah kawalan pergerakan,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.