
Seorang pegawai yang enggan dikenali memberitahu FMT, cadangan membuka pintu parti itu kepada bekas pemimpin PPBM akan menyebabkan Warisan menyimpang daripada perjuangannya yang berpusat di Sabah.
Ahli kanan parti itu berkata, komen Pengerusi Tetapnya, Liew Vui Keong mengenai pengembangan parti itu tidak pernah terlintas di fikiran pemimpin tertinggi dan sekadar cadangan.
“Secara terus terang, itu hanya rancangan, belum ada keputusan dibuat.”
Beliau berkata: “Warisan ialah parti berpangkalan di Sabah dan perjuangannya untuk penduduk negeri itu. Memperluaskan parti ke peringkat nasional bermakna parti itu perlu merombak perjuangannya. Ini bermakna kita perlu melakukannya tanpa perjuangan untuk Sabah.
“Pengundi menyokong pemimpin Warisan kerana perjuangan Sabah mereka, bukan sebab nasional yang akan menyebabkan rakyat Sabah berkompromi dengan tuntutan mereka sekali lagi,” kata ahli kanan itu.
Katanya, hanya Presiden Warisan, Shafie Apdal boleh memutuskan sama ada parti itu perlu menjadi parti nasional dan hanya Setiausaha Agung, Loretto Padua dapat memberikan jawapan berhubung keahlian parti.
Beliau berkata, Warisan ditubuhkan atas dasar orang Sabah untuk Sabah dan Shafie meminta rakyatnya memutuskan apa yang mereka boleh lakukan untuk Sabah, bukan apa yang dapat dilakukan (kerajaan) Sabah untuk mereka.
“Disebabkan slogan ini, Warisan dapat bangkit dengan cepat dan mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada pilihan raya umum 2018. Warisan perlu mencari slogan baru jika ia benar-benar mahu ke peringkat nasional,” katanya.
Seorang lagi ahli Warisan memberitahu FMT, kemasukan Mahathir dalam parti itu bukan idea baik disebabkan rekod lampaunya dan perkara yang dilakukannya kepada Sabah pada 1990-an.
Mahathir didakwa mendalangi Projek IC, iaitu program kewarganegaraan bagi warga asing mengundi bertujuan membolehkan kerajaan Barisan Nasional memenangi pilihan raya di Sabah dan kekal berkuasa.
Beliau juga dipercayai mendalangi kejatuhan kerajaan Parti Bersatu Sabah selepas pilihan raya 1994, ketika kerajaan itu tumbang akibat pembelotan.
“Mahathir ialah individu yang baik untuk bekerjasama, tetapi bukan seseorang yang perlu berada dalam pasukan. Perlu ada jurang antara beliau dan Warisan.”
Semalam, Liew dilaporkan membuat spekulasi mengenai bekas perdana menteri itu menyertai Warisan dan keperluan untuk parti itu diperluaskan ke seluruh negara, jika ia berlaku.
Mahathir dan 5 bekas pemimpin PPBM yang lain kini menjadi ahli Parlimen bebas di Dewan Rakyat.
Liew dilaporkan berkata, Warisan bersedia meminda perlembagaannya, mungkin menamakannya Parti Warisan Malaysia.
Bulan lalu, blok pembangkang Pakatan Harapan dan kumpulan Mahathir mengesahkan pencalonan Shafie sebagai perdana menteri, jika mereka mengalahkan Perikatan Nasional atau mendapat sokongan mencukupi di Dewan Rakyat bagi menggulingkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.