Wakil Goldman di Malaysia runding pemulangan aset 1MDB

Wakil Goldman di Malaysia runding pemulangan aset 1MDB

Mereka hadir ke Malaysia untuk rundingan dengan kerajaan minggu ini.

PETALING JAYA: Perwakilan kanan Goldman Sachs Group Inc, bank antarabangsa yang membantu 1MDB memungut dana berbilion dolar, berada di Malaysia untuk meneruskan perbincangan dan rundingan mengenai pemulangan aset syarikat pembangunan strategik itu.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan mereka hadir ke Malaysia untuk rundingan dengan kerajaan, yang diketuai Jabatan Peguam Negara, minggu ini.

“Kerajaan berharap perbincangan ini akan membuahkan hasil dan membolehkan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat mengenai pemulangan aset 1MDB kepada Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Pegawai Malaysia dilapor dalam rundingan terakhir untuk mencapai kata sepakat dengan Goldman mengenai transaksi 1MDB.

Eksekutif atasan Goldman bersama pasukan undang-undangnya dilapor tiba di Kuala Lumpur untuk berjumpa Peguam Negara Idrus Harun, yang mengetuai pasukan petugas untuk mendapatkan wang berkaitan 1MDB.

Perbincangan yang disambung semula itu dikatakan sebagai “perintis penting” bagi kempen untuk mendapatkan kembali aset dan dana berbilion dolar yang didakwa dilencongkan daripada 1MDB.

Pada Mac, sejumlah RM1.4 bilion dilapor sudah didapatkan kembali oleh pasukan petugas, sementara RM6.9 bilion lagi telah dikenal pasti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.