Bunga abadikan kisah cinta bersama Ashraf Sinclair dalam ‘12 Tahun Terindah’

Bunga abadikan kisah cinta bersama Ashraf Sinclair dalam ‘12 Tahun Terindah’

Single terbaru Bunga berjudul ‘12 Tahun Terindah’ turut memaparkan momen indah mereka sekeluarga termasuk anak mereka Noah Aidan Sinclair.

Single terbaru Bunga berjudul ‘12 Tahun Terindah’ turut memaparkan momen indah mereka sekeluarga termasuk anak mereka Noah Aidan Sinclair.

Sudah 5 bulan, pemergian pelakon Ashraf Sinclair namun kehilangannya terus dirasai isteri tercinta yang juga penyanyi Bunga Citra Lestari dan seluruh ahli keluarganya.

Malah peminat masih teringat kisah cinta Bunga dan Allahyarham Ashraf.

Dan ia kembali menjadi bualan selepas penyanyi itu mengabadikan kisah mereka menerusi single terbaharunya berjudul “12 Tahun Terindah”.

Menerusi video muzik lagu yang dilancarkan di YouTube, Bunga turut memasukkan beberapa koleksi rakaman momen indah mereka sekeluarga.

Lebih mengundang sebak, Bunga juga berkongsi sedutan rakaman kenangan pertemuan pertama dia dengan arwah suaminya di sebuah program televisyen terbitan Astro pada 2007.

Selain itu, anak lelaki Bunga dan Ashraf iaitu Noah Aidan Sinclair turut digambarkan dalam video muzik tersebut sebagai kekuatan buat penyanyi itu bagi menggantikan arwah bapanya.

Baru sahaja dimuat naik tidak sampai 24 jam, video muzik berkenaan kini sudah hampir mencecah 5 juta tontonan dan lebih 54,000 komen daripada netizen.

Rata-rata netizen meluahkan rasa sedih menonton video muzik tersebut dan ada juga dalam kalangan mereka yang menangis kerana turut merasai kesedihan yang dilalui Bunga serta keluarga.

Allahyarham Ashraf Sinclair meninggal dunia akibat serangan jantung pada 18 Februari lalu di Jakarta, Indonesia.

Bunga dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 2008 dan dikurniakan seorang cahaya mata bernama Noah Aidan Sinclair yang kini berusia 10 tahun.

Dalam pada itu, adik kepada arwah iaitu Adam Sinclair juga berkongsi gabungan video dia bersama isterinya yang juga penyanyi Yuna serta keluarga yang sedang mendengar lagu tersebut kelihatan menitiskan air mata.

Adik kepada Ashraf iaitu Adam dan Yuna turut sedih menonton video muzik tersebut.

“Saya fikir yang saya akan baik-baik saja apabila lakukan ini… tapi ternyata ia menyentuh perasaan walaupun hanya duduk dan mendengar lagu ini.

“Dan saya rasakan semua emosi. Saya tidak dapat bayangkan macam mana untuk awak @bclsinclair dan Noah. Saya bangga dengan awak berdua dan saya sangat sayangkan awak,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.