
Izhar bagaimanapun berkata, pihaknya yakin usaha untuk menjadikan isu pemilikan dan penggunaan dadah sebagai bukan kesalahan jenayah akan diteruskan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha mencari penyelesaian berhubung isu berkenaan.
“Dahulu, memang sudah hampir sedia, tetapi belum dibawa ke Kabinet. Perbincangan dengan pihak pertubuhan bukan kerajaan, persatuan doktor, AADK, polis, Jabatan Kastam dan agensi berkaitan dadah sudah dilakukan.
“Tetapi benda itu, dari segi dasarnya masih belum dibawa ke peringkat Kabinet, apabila bertukar kerajaan, ada tersangkut sikitlah di situ,” katanya sewaktu ditemui pemberita selepas majlis penutupan Bengkel Pemasalahan Penggunaan Dadah Jenis ATS di sini, hari ini.
Pada Jun tahun lalu, semasa Pakatan Harapan (PH) mentadbir Putrajaya, gabungan berkenaan merancang untuk menjadikan penggunaan dadah bukan lagi kesalahan jenayah.
Bahkan ia turut menubuhkan jawatankuasa khas dianggotai Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta ketua setiausaha negara bagi mengkaji perkara berkenaan.
Penubuhan jawatankuasa khas itu akan membincangkan perbezaan antara penagih dan pengedar dadah, serta kaedah membantu mereka yang terbabit masalah penagihan dadah, bagi menggantikan hukuman penjara.
Muhyiddin Yassin sewaktu menjawat tugas sebagai menteri dalam negeri ketika itu berkata, pihaknya mengkaji untuk mengeluarkan Seksyen 6, 8 dan 9 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) daripada didaftarkan mengikut Akta 7 (Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969) bagi memberi peluang kedua kepada penagih yang pulih serta dibebaskan.

Izhar berkata, penagih dadah perlu diberi rawatan secukupnya, bukannya dihukum dari sudut undang-undang dengan menempatkan mereka di dalam penjara, yang turut akan mendedahkan penagih kepada dunia jenayah.
“Penagih dadah ini sama seperti dengan penagih lain, seperti penagih alkohol. Mereka ini hadapi masalah kesihatan, mereka tidak sepatutnya dihantar ke penjara sebaliknya dirawat. Tidak kiralah menerima rawatan di pusat pemulihan kerajaan atau swasta.
“Apabila dimasukkan ke penjara dan tidak diberikan program rawatan dan pemulihan, penagih akan terdedah dengan penjenayah lain pula.
“Jadi apabila keluar penjara, mereka bukan sahaja mengenali dunia dadah, tetapi juga dunia penjenayah pula,” katanya.
Pada masa sama, Izhar yang kini menjawat tugas sebagai presiden Majlis Penggunaan Bahan Terlarang (Masac) berkata, masalah membabitkan dadah di dalam negara masih terkawal tidak seperti negara luar.
“Masih dalam kawalan, kalau meningkat pun ia selari dengan peningkatan penduduk, masalah sosial dan masalah strata masyarakat. Bukannya jadi satu masalah yang menyebabkan pihak berkuasa hilang kawalan.
“Polis memang kita lihat bersungguh-sungguh membuat tangkapan membabitkan pengedaran, penjualan dan penggunaan dadah. Ini dapat dilihat dalam tempoh PKP lalu, terdapat pengedar dadah dikesan menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya.