
Katanya, kementerian itu dan Sarawak Energy Bhd bekerjasama untuk memastikan pakej subsidi itu yang berkuat kuasa awal bulan ini dapat membantu meringankan beban kewangan pemilik rumah dalam menampung kos penyambungan bekalan elektrik dari talian bekalan utama ke rumah mereka.
Beliau juga berkata, penyambungan elektrik dari talian bekalan utama ke rumah akan diberikan secara percuma jika kosnya di bawah RM5,000.
“Ia (pakej ini) ditawarkan bagi pelanggan pemilik rumah perseorangan yang pertama kali memohon bagi bekalan sehingga kapasiti maksimum 10KVA.
“Caj penyambungan biasanya termasuk yuran sebuah rumah, pemasangan dan kos bahan, caj kapasiti dan kos meter. Caj berkenaan tidak termasuk pemasangan pendawaian dalam rumah yang perlu ditanggung oleh tuan rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua pegawai eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Sharbini Suhaili berkata, pasukan peruncitan syarikat itu akan membantu memberi penerangan kepada pemilik rumah baru berhubung syarat kelayakan bagi subsidi itu.
“Kami menasihatkan pemilik rumah untuk berjumpa pihak kami bagi mengelakkan daripada mendapat maklumat salah mengenai subsidi.
“Ini juga untuk memastikan penyambungan elektrik dari talian bekalan utama ke rumah anda dilakukan dengan selamat oleh kakitangan Sarawak Energy atau kontraktor berdaftar yang kompeten,” katanya.
Kementerian itu memperuntukkan RM8 juta bagi program subsidi itu untuk 2020, dan setakat ini 187 pemilik rumah mendapat manfaat daripadanya dan daripada jumlah itu, 162 layak bagi penyambungan secara percuma.