
Presiden MMA, Dr N Ganabaskaran berkata persatuan itu akan menyokong cadangan Kementerian Kesihatan untuk menempatkan individu terbabit di pusat kuarantin atau hotel.
Sejak 10 Jun lalu, semua individu yang pulang ke tanah air perlu menjalani kuarantin 14 hari di rumah di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah.
Ganabaskaran berkata, cadangan itu ialah langkah baik yang dapat mengurangkan risiko jangkitan ketika kuarantin rumah.
Katanya, terdapat laporan pihak berkuasa berdepan cabaran untuk individu yang menjalani kuarantin di rumah melakukan ujian saringan Covid-19 kedua pada hari ke-13 kuarantin mereka.
“Langkah ini (kuarantin di pusat luar) mungkin dapat menghalang kejadian seperti ini.”
Bekas perdana menteri, Najib Razak antara individu yang menggesa kajian ke atas langkah kuarantin rumah atas alasan ramai rakyat Malaysia pulang dari negara dengan banyak kes Covid-19.
Ketua Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berkata kuarantin rumah memerlukan kerjasama kes disyaki dan ia “belum berjaya sepenuhnya”.
Katanya, kuarantin rumah perlu dipandang serius, tetapi sikap puas hati dan kurangnya rasa bimbang mula berlaku.
Bagaimanapun, beliau berkata, kuarantin mandatori di pusat luar perlu dijadikan langkah pilihan berbanding dasar untuk semua.