
Chan Foong Hin berkata, tidak ada penjelasan bagaimana wang itu dibelanjakan dalam jawapan bertulis di Parlimen, sekali gus menimbulkan kecurigaan dana itu mungkin tidak digunakan bagi tujuan berkenaan.
Setiausaha DAP Sabah itu dalam soalannya ketika persidangan Dewan Rakyat 16 Julai lalu meminta KKM menyatakan jumlah dibelanjakan untuk kuarantin hotel dan memberikan perincian bagi setiap negeri.
Chan berkata, pertanyaannya adalah berdasarkan banyak keluhan yang diterima di Sabah mengenai kualiti pusat kuarantin awam.
“Dalam jawapan kementerian, mereka hanya menyatakan sejumlah RM105.4 juta disalurkan bagi tujuan ini melalui Kementerian Pelancongan.
“Perincian ini penting (perbelanjaan hotel setiap negeri) untuk menyanggah tuduhan berat sebelah atau layanan istimewa terhadap rakyat Semenanjung dengan mengetepikan penduduk Sabah,” katanya.

Chan berkata, perkara berkaitan kesihatan berada bawah kerajaan pusat mengikut perlembagaan persekutuan.
“Terdahulu, Putrajaya menolak untuk memberi subsidi kepada hotel kuarantin bagi mereka yang pulang ke Sabah dari luar negara, termasuk dari semenanjung dan Sarawak.
“Akibatnya, pihak berkuasa kesihatan di Sabah perlu mengkuarantin mereka di Kompleks Sukan Likas, menyebabkan banyak keluhan orang ramai mengenai kemudahan disediakan,” katanya.
Kompleks Sukan Likas dijadikan pusat kuarantin bagi Hospital Queen Elizabeth I ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Sementara itu, Chan mempersoalkan alasan KKM mewartakan 1,572 premis sebagai pusat kuarantin di seluruh negara, namun hanya menggunakan 321 hingga 7 Julai lalu.
Ia termasuk 160 institusi awam dan kemudahan awam lain serta 161 hotel.