
Andrei Kelin dalam temubual dengan sebuah televisyen UK yang akan disiarkan pada Ahad menyifatkan dakwaan Britain, Amerika Syarikat dan Kanada pada Khamis lalu tidak masuk akal berhubung sekumpulan penggodam digelar APT29 mendalangi serangan dalam talian dan “hampir pasti” dikaitkan dengan perisikan Rusia.
“Saya langsung tidak percaya cerita ini, semua ini tidak masuk akal,” katanya kepada program Andrew Marr yang disiarkan BBC, sambil menambah beliau tahu mengenai kewujudan kumpulan penggodam itu daripada laporan media British.
“Dalam dunia ini, mustahil untuk mengaitkan sebarang penggodam komputer kepada mana-mana negara.”
Kelin, yang dilantik menjadi diplomat tertinggi Moscow di Britain November lalu, turut membantah satu lagi dakwaan London yang “pelakon Rusia” berusaha mengganggu pilihan raya umum UK tahun lalu.
Khamis lalu, Setiausaha Luar Britain, Dominic Raab dilaporkan berkata, pelaku mengedarkan dokumen perdagangan bocor antara Britain dan AS dalam sauah memecahbelahkan mereka.
“Saya tidak nampak apa gunanya menggunakan subjek ini untuk campur tangan,” kata Kelin.
“Kami tak masuk campur langsung. Kami tidak nampak sebarang manfaat untuk campur tangan…kami akan cuba menyelesaikan hubungan dan membina hubungan lebih baik berbanding sekarang.
Rusia dan Britain bertelagah sejak Moscow didakwa cuba membunuh ejen talam dua muka Sergei Skripal dengan agen saraf gred tentera pada 2018.
Serangan di Salisbury, barat daya England, berlaku 12 tahun selepas keracunan radiasi ke atas bekas perisik, Alexander Litvinenko di London.
Rusia sekali lagi menafikan pembabitannya dan Kelin berkata, negara itu bersedia melupakan kontroversi itu.
“Kami sedia membuka lembaran baru dan berdagang dengan Britain.”