
Pegawai hidupan liar daerah Tawau Sailun Aris berkata, bangkai reptilia itu ditemui tengah hari Sabtu lalu berhampiran Kampung Tanjung Sapi, di mana perangkap dipasang di beberapa tempat pada 15 Julai.
“Buaya itu mungkin sudah mati dalam tempoh 24 jam apabila memakan umpan sebelum kami menemuinya. Keluarga mangsa (serangan buaya) sudah dimaklumkan mengenai perkara itu, ” katanya.
Sailun berkata, badan reptilia itu perlu dibelah untuk mencari mayat mangsa, Sukrien Jesman Yusoff, berikutan permintaan keluarga.
Beliau percaya buaya seberat 350kg itu turut menyebabkan kematian seorang wanita, Nur Hayati Talib, 50, pada 25 Jun lalu, dan beberapa siri serangan lain yang dilaporkan di kawasan berkenaan.
Kira-kira 13,000 hingga 15,000 buaya direkodkan dalam bancian di seluruh negeri yang dilakukan Jabatan Hidupan Liar Sabah antara 2017 hingga tahun ini.
Ia menunjukkan populasi buaya di Sabah meningkat 10 kali ganda jika dibandingkan hasil bancian pada 1984.
Sungai Kinabatangan, Kalumpang, Silabukan dan Klias mempunyai jumlah reptilia itu paling tinggi.
Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga berkata, pihaknya kini menunggu laporan akhir mengenai bancian buaya untuk melaksanakan pelan bagi mengawal populasi reptilia itu.
Tuuga berkata, kerajaan juga perlu menunggu kuota mengikut Konyensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (CITES).
Pembunuhan buaya secara haram boleh dikenakan hukuman 3 tahun penjara dan denda sehingga RM100,000.