Sabah perlu gubal dasar jelas untuk jadi kuasa pertanian, kata ahli ekonomi

Sabah perlu gubal dasar jelas untuk jadi kuasa pertanian, kata ahli ekonomi

Syarikat GLC di Sabah perlu bekerjasama dengan sektor swasta untuk memulakan rancangan strategik dan harus diketuai oleh teknokrat, bukannya lantikan politik.

Ketua Menteri Sabah Shafie Apdal mahu negeri itu mengeksploitasi potensinya dalam bidang pertanian.
KINABALU:
Seorang ahli ekonomi mendesak kerajaan Sabah menggubal dasar yang jelas untuk memacu negeri itu ke arah merealisasikan hasrat untuk menjadi kuasa pertanian.

Mengulas kenyataan Ketua Menteri Shafie Apdal mengenai potensi negeri itu dalam bidang pertanian, Firdausi Suffian dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sabah berkata, rakyat memerlukan dasar perindustrian yang jelas seperti yang selalu diperkatakan ketua menteri, namun ia belum dilihat di negeri ini.

Dalam wawancara baru-baru ini, Shafie membayangkan Sabah dan Sarawak muncul sebagai hub ekonomi dengan berkata, Sabah boleh memainkan peranan besar dalam perkara itu dengan memanfaatkan potensinya dalam bidang pertanian.

Firdausi mengakui kewujudan Pelan Pembangunan Pertanian Sabah untuk kepelbagaian sektor ekonomi, tetapi ia tidak akan dapat dijalankan tanpa dasar industri untuk melengkapkannya.

“Sabah adalah penyumbang ke-2 terbesar dalam bidang pertanian selepas Sarawak kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, tetapi kita hanya eksport bahan mentah. Tidak ada industri hiliran di wilayah itu.

“Singapura, yang tidak memiliki tanah untuk pertanian besar-besaran, masih menduduki tempat pertama dalam hal keselamatan makanan di Asean, tetapi bagi Sabah, makanan adalah import ke-2 tertinggi.

“Untuk menjadikan Sabah hub ekonomi, kerajaan negeri perlu menetapkan jalan mana yang kita ingin pergi,” katanya.

Firdausi Suffian.

Firdausi berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sabah perlu bekerjasama dengan sektor swasta untuk memulakan rancangan strategic dan untuk tujuan itu GLC harus diketuai oleh teknokrat bukannya lantikan politik.

“Walaupun beberapa orang yang dilantik memiliki kelayakan, mereka tidak boleh memisahkan diri daripada kepentingan politik,” katanya.

Sementara itu, Carmelo Ferlito dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) berkata, kerajaan negeri perlu bertanya kenapa ia tidak dapat menjadikan Sabah pemain antarabangsa penting dalam pertanian walaupun mempunyai sumber tanah yang luas.

“Apakah yang membantutkan pemain antarabangsa untuk membangunkan operasi berskala besar di Sabah?” soal beliau.

“Harapan untuk mempunyai hub pertanian dan menjadikannya nyata adalah 2 kisah berbeza. Kita harus meneliti perkara itu untuk melihat bagaimana untuk mengembangkan pendekatan yang didorong oleh pasaran yang dapat meningkatkan keusahawanan pertanian di Borneo,” katanya.

Ferlito menegaskan impian Sabah akan terganggu jika tidak ada perancangan yang betul.

“Perdagangan antarabangsa adalah berpandukan kepada kelebihan daya saing.

“Lihat Indonesia. Dalam usaha mengembangkan industri jagung tempatan dengan duti tinggi ke atas jagung yang diimport, akhirnya menjadikan harga jagung tempatan jauh lebih mahal daripada harga antarabangsa.

“Ini bermakna industri yang sangat bergantung pada jagung sebagai bahan mentah, seperti penternakan ayam, kurang kompetitif dan harus memasuki pasar dengan harga lebih tinggi,” katanya.

Ferlito turut bercakap tentang potensi dalam perdagangan intra-Asean.

Beliau berkata, Asia Tenggara berada pada posisi baik untuk meningkatkan peranannya dalam ekonomi global kerana kesan Covid-19 lebih ringan di rantau ini berbanding bahagian lain di dunia.

Beliau menggesa eksploitasi peluang yang datang daripada gangguan dalam rantai penawaran dan nilai, khususnya, susulan rasa tidak percaya yang semakin meningkat terhadap China.

Katanya, peluang yang datang akibat gangguan bekalan dan rantaian penawaran daripada rasa tidak percaya yang semakin meningkat terhadap China perlu dieksploitasi.

“Bayangkan betapa besarnya impak pembukaan semula sempadan intra-Asean.

“Namun, kita lihat kecenderungan nasionalisme yang semakin meningkat dengan beberapa negara seperti Thailand menggunakan ‘autarkic jargon’,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.