Pemain industri mahu kerajaan tamat monopoli Bernas

Pemain industri mahu kerajaan tamat monopoli Bernas

Penyertaan syarikat baru sebagai pengimport bantu rancakkan industri padi dan beras secara sihat.

Persatuan pengilang beras Melayu berkata, pihaknya sebelum ini mencadangkan supaya kerajaan membuka kuota 30% AP beras import kepada syarikat Bumiputera, namun ia tergantung selepas pertukaran kerajaan awal tahun ini.
PETALING JAYA:
Penggiat industri padi dan beras negara menggesa kerajaan menghapuskan monopoli pengimport yang dipegang oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas) selepas konsesi pemegang lesen import tunggal beras negara itu berakhir pada awal 2021.

Pengerusi Persatuan Pengilang Beras Melayu Malaysia (PPBMM), Tarmizi Yob berkata, jika monopoli itu dipecahkan kepada peserta industri lain, ia boleh membantu membangunkan industri padi dan beras negara secara sihat.

“BIla kita tengok industri lain, mereka buka permit import (AP) kepada semua. Barulah kita nampak industri sihat sebab bila ada satu-satu pihak yang monopoli, ia jadikan industri ini tidak sihat.

“Sebagai pengilang padi kami langsung tak dapat apa-apa keistimewaan daripada kerajaan. Jika padi tak cukup isi, padi rosak atau tak capai kualiti sepatutnya, kilang yang tanggung rugi. Petani dapat harga sama.

“Banyak kilang padi terpaksa gulung tikar sebab inilah, tetapi langsung tidak diambil peduli oleh kerajaan,” katanya kepada FMT, hari ini.

Bagaimanapun ini berbeza dengan situasi yang dialami Bernas, Tarmizi berkata, syarikat itu boleh menampung kerugian yang dialami dengan adanya pemilikan tunggal AP.

“Kita pengilang beras ini harapkan musim padi sahajalah, beli beras, jual beras. Itu sahaja. Sekurang-kurangnya bila AP dipecahkan, syarikat seperti kami ada peluang untuk bertahan,” katanya.

Justeru, beliau mengesyorkan pemberian AP dikhususkan kepada peserta industri yang mempunyai keupayaan dan sokongan sepenuhnya dalam rantaian pengeluaran beras dan padi.

“Janganlah AP diberikan secara meluas, kita mahu jika AP ini dibuka, ia diberikan khusus kepada mereka yang dah berkecimpung puluhan tahun dalam industri ini, ada sokongan secukupnya, baru adil,” katanya.

Tarmizi mendedahkan sebelum ini pihaknya mencadangkan kerajaan membuka 30% kuota AP beras kepada syarikat Bumiputera, namun ia tergantung selepas pertukaran kerajaan awal tahun ini.

“Kita ada jumpa menteri sebelum ini (Salahuddin Ayub) dan ia masih dalam perbincangan. Saya harap kerajaan baru ini dengar rintihan pengilang Bumiputera seperti kami.

“Monopoli Bernas perlu dirungkai demi persaingan dan kesetaraan. Kembalikan koperasi kilang yang dipacu petani sendiri supaya mereka dapat bertahan,” katanya.

Dewan Rakyat kecoh minggu ini apabila Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee tidak menjawab persoalan yang dikemukakan bekas menteri perdagangan dalam negeri, Saifuddin Nasution mengenai pendirian kerajaan Perikatan Nasional (PN) sama ada akan melanjutkan rancangan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk menamatkan monopoli pengimport beras yang dipegang Bernas.

Konsesi import Bernas akan berakhir pada awal 2021.

Pengeluaran beras tempatan hanya dapat menampung 70% permintaan dalam negeri, sementara 30% lagi diimport, yang haknya dipegang oleh Bernas.

Sementara itu, koordinator Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi dan Beras Negara (Padi Rescue), Nur Fitri Amir pula berkatat, hak mengimport beras tunggal oleh Bernas perlu ditamatkan dan dikawal sepenuhnya oleh Lembaga Padi dan Beras (LPN) sebagai agensi kerajaan yang tiada kepentingan.

“Tidak seperti komoditi pertanian yang lain seperti cili atau sayur-sayuran, industri ini mesti diuruskan oleh agensi kerajaan atas sebab ia adalah barangan kawalan demi kepentingan pesawah dan pengguna pada waktu normal dan juga waktu krisis.

“Pihak swasta seperti Bernas tidak boleh menguruskan industri kerana mereka mempunyai konflik kepentingan, iaitu mendapat keuntungan yang banyak daripada beras import dan dalam masa sama membeli padi tempatan.”

Beliau berkata, selagi kerajaan mempertahankan kedudukan Bernas sebagai pengimport tunggal, maka sasaran 100% tahap sara diri (SSL) tidak akan tercapai.

“Monopoli itu membunuh industri itu sendiri,” katanya

Fitri berkata, setakat ini tiada sebarang perjumpaan atau tindakan lanjut yang dilakukan oleh kerajaan untuk merungkai pertikaian yang berlarutan sejak sekian lama.

LPN yang dimiliki sepenuhnya kerajaan, dikorporatkan kepada Bernas pada 1996, sebelum beralih menjadi syarikat swasta pada 2014.

FMT cuba mendapatkan respons daripada Kiandee, namun tidak dijawab sejak semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.