Jemaah tabligh terkandas antara 96 rakyat Malaysia pulang dari India

Jemaah tabligh terkandas antara 96 rakyat Malaysia pulang dari India

Menteri luar berkata, sebahagian besar jemaah tabligh itu sudah menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan menyalahgunakan visa lawatan sosial bagi menjalankan aktiviti keagamaan.

Sebahagian daripada 96 rakyat Malaysia bergambar bersama sebelum berlepas pulang dengan sebuah pesawat khas pulang dari India hari ini. (Gambar Wisma Putra)
PETALING JAYA:
Seramai 96 rakyat Malaysia, termasuk 62 jemaah tabligh yang terkandas di India tiba di tanah air hari ini, kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein.

Katanya, mereka yang terkandas di negara itu akibat sekatan perjalanan susulan penularan Covid-19, tiba dengan sebuah pesawat khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 6 pagi tadi.

“Daripada 96 orang ini, 62 merupakan sebahagian jemaah tabligh rakyat Malaysia yang telah terkandas di India sejak Mac 2020. Mereka ditahan pihak berkuasa India atas tuduhan menyalahgunakan visa lawatan sosial bagi menjalankan aktiviti keagamaan.

“Bagaimanapun, sebahagian besar telah menjalani proses perundangan dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut.

“Saya bagi pihak kerajaan Malaysia, terutama Wisma Putra merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan India kerana memberi kerjasama sepenuhnya, khususnya Perwakilan Malaysia di India dalam usaha membantu rakyat Malaysia yang terkandas di sana, termasuk jemaah tabligh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut berterima kasih kepada keluarga jemaah tabligh dan rakyat Malaysia yang sabar menunggu kerajaan menyelesaikan isu itu.

Kumpulan 96 rakyat Malaysia yang pulang dari India awal pagi tadi dibawa ke pusat kuarantin yang disediakan kerajaan. (Gambar Wisma Putra)

“Rakyat Malaysia perlu faham jemaah tabligh ini telah melanggar undang-undang kerajaan India. Kerajaan Malaysia berdepan beberapa kekangan dalam usaha menyelesaikan proses diplomasi dan rundingan.

“Sepanjang menyelesaikan isu ini, kita berusaha sedaya upaya dalam memberikan bantuan konsular sewajarnya demi memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara.

“Ini termasuk menghulurkan bantuan dari segi makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan asas harian. Selain itu, Perwakilan kita di India juga mendapatkan khidmat guaman bagi membela mereka dengan sebaiknya serta menyediakan penginapan bersesuaian.”

Katanya, kumpulan 96 individu itu perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di 2 pusat yang disediakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.