
Pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak akhir tahun lalu telah menghadkan pelbagai aktiviti termasuklah acara-acara besar di seluruh dunia.
Industri fesyen antara yang tidak terkecuali berhadapan dengan situasi ini.
Saban tahun kota-kota fesyen terkenal seperti New York, London, Milan dan Paris akan menganjurkan acara Minggu Fesyen bagi setiap musim sepanjang tahun.
Minggu Fesyen sering dihadiri oleh penggiat fesyen dari seluruh dunia termasuklah media, selebriti dan pencinta fesyen.
Sewaktu minggu fesyen berlangsung, kebiasaannya hotel-hotel di kota-kota yang terlibat akan habis ditempah kerana menerima tempahan daripada setiap tetamu yang hadir dari serata dunia.
Ini menjadikan kota-kota besar ini sesak seketika dengan si pencinta fesyen.
Awal tahun ini, Minggu Fesyen masih sempat disempurnakan seperti biasa.
Namun pereka fesyen Giorgio Armani telah mengambil keputusan untuk mempersembahkan koleksinya secara digital kerana bimbang akan keselamatan tetamu-tetamunya.
Minggu Fesyen Adibusana yang dijadualkan berlangsung pada bulan Julai terpaksa diubah mengikut kesesuaian norma baru.

Pelbagai jenama dari rumah fesyen terkenal memilih untuk mempersembahkan koleksi adibusana mereka melalui platform digital.
Giambatista Valli misalnya, telah mempersembahkan koleksi terbaru adibusana mereka melalui sebuah video dan gambar.
Setiap adibusana yang dipersembahkan diperagakan oleh supermodel terkenal Joan Small.

Jenama mewah Dior mengambil pendekatan berbeza apabila mempersembahkan koleksi terbaru adibusana mereka dalam sebuah filem pendek yang bertemakan fantasi Greek.
Setiap rekaan dijelmakan dalam bentuk mini dan diletakkan di dalam sebuah kotak persis persalinan untuk sebuah boneka.

Pendekatan yang sama turut di ambil oleh rumah fesyen Prada. Prada mempersembahkan koleksi musim panas mereka melalui sebuah filem pendek yang diarahkan oleh lima individu berbeza.

Jenama Loewe pula punya idea unik untuk mempersembahkan koleksi terbaru mereka.
Loewe telah merangkumkan keseluruhan pertunjukan fesyen di dalam sebuah kotak. Kotak yang direka khas ini mengandungi setiap butiran seperti sebuah pertunjukan fesyen sebenar.
Ia turut hadir dengan piring hitam yang mengandungi muzik latar belakang pertunjukan fesyen yang boleh dimainkan tanpa bantuan elektronik. Sungguh mengagumkan!


Ketika ini sedang berlangsung Minggu Fesyen Milan yang disiarkan secara digital membabitkan jenama-jenama popular dari Itali.
Alberta Ferreti telah mempersembahkan koleksi terbaru mereka melalui sebuah video.
Model-model memperagakan himpunan terbaru sambil berjalan berlatarbelakangkan bangunan-bangunan ikonik di Itali.

Dolce & Gabbana pula telah mempersembahkan himpunan koleksi terbaru mereka dalam sebuah pertunjukan fesyen yang hanya dihadiri oleh beberapa tetamu khas sahaja.
Malah setiap model turut memperaga mengikut peraturan penjarakan sosial yang ditetapkan.
Setiap tetamu yang hadir juga wajib memakai topeng muka dan duduk dalam jarak sosial yang ditetapkan.

Biarpun terpaksa akur dengan pertunjukan fesyen norma baru ini, namun ada juga segelintir penggiat fesyen yang kurang bersetuju dengan format baru ini.
Kata mereka sebuah pertunjukan fesyen tidak akan sama tanpa model-model berjalan di atas pentas diiringi muzik serta disaksikan oleh tetamu yang hadir.
Dikhabarkan masih ada jenama besar yang berdegil mahu mementaskan koleksi terbaru mereka mengikut format pertunjukan fesyen yang asal.
Lain pula dengan beberapa jenama popular seperti Gucci, YSL dan Michael Kors yang bercadang untuk tidak mengadakan pertunjukan fesyen ketika Minggu Fesyen tahun ini sehingga keadaan dunia kembali selamat.
Di Malaysia pula, Minggu Fesyen Kuala Lumpur dianjurkan pada bulan Ogos saban tahun di pusat membeli belah terkenal Pavilion.
Namun khabarnya tahun ini, Minggu Fesyen Kuala Lumpur turut akan dipersembahkan secara digital. Sama-sama kita nantikan pengumuman rasmi dari penganjur.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]