
Kes kematian juga meningkat dan mencapai tahap tertinggi sejak awal Jun, didahului oleh Arizona, California, Florida dan Texas.
Lebih daripada separuh negeri di AS, iaitu 30 daripada 50, melaporkan peningkatan kes dalam tempoh sehari untuk bulan ini.
Berdasarkan analisis kes oleh Reuters sepanjang 2 minggu lepas berbanding dengan 2 minggu sebelumnya, kes jangkitan meningkat di hampir semua negeri.
Analisis itu turut menyebut sekiranya Florida adalah sebuah negara, ia akan menduduki tempat ke-4 di dunia bagi peningkatan kes baru dalam tempoh 24 jam, meninggalkan AS, Brazil dan India.
Warga Amerika ketika ini semakin berbelah bagi berhubung isu seperti pembukaan semula sekolah dan sektor perniagaan serta arahan memakai pelitup muka di khalayak ramai.
Ini meskipun pakar kesihatan seluruh dunia mencapai kata sepakat pemakaian pelitup muka adalah kaedah paling berkesan untuk menghentikan penularan wabak yang kini telah mengorbankan 134,000 nyawa.
Pada Jun, AS mencatatkan purata sebanyak 28,000 kes sehari, manakala pada bulan ini, 57, 625 kes direkodkan.
Pengarah Institut Penyakit Berjangkit Nasional, Dr Anthony Fauci memberi amaran bahawa negara itu akan berdepan situasi yang mencatatkan 100,000 jangkitan Covid-19 setiap hari jika rakyat tidak bersatu dalam mengamalkan langkah pencegahan.