Tiada calon bertanding pengerusi PPBM, Muhyiddin calon tunggal presiden

Tiada calon bertanding pengerusi PPBM, Muhyiddin calon tunggal presiden

Ahmad Faizal Azumu merupakan satu-satunya calon untuk jawatan timbalan presiden PPBM.

Muhyiddin Yassin merupakan calon tunggal bagi jawatan presiden PPBM dalam pemilihan parti itu 27 September ini.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa pemilihan PPBM mengumumkan hari ini bahawa tiada calon yang bertanding bagi merebut jawatan pengerusi parti itu yang sebelum ini disandang oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, ia juga mengumumkan bahawa Muhyiddin Yassin merupakan calon tunggal bagi jawatan presiden PPBM’

Bagi jawatan timbalan presiden pula menteri besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, adalah satu-satunya calon yang bertanding.

Pengerusi jawatankuasa permilihan PPBM (JPP), Syed Hamid Albar berkata, JPP pada hari ini mengadakan proses cabutan nombor calon di ibu pejabat parti itu untuk calon yang bertanding di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), sayap Pemuda dan Wanita.

Beliau berkata, senarai nombor calon boleh diakses oleh semua ahli pari melalui laman sesawang rasmi JPP PPBM di http://pribumibersatu.org.my/sys/index.php/calon_mpt.

“JPP turut mengambil maklum hasrat calon untuk mencetak nama mereka seperti yang dikenali umum pada senarai rasmi yang akan diedarkan ke semua bahagian, termasuk gelaran darjah kebesaran dan gelaran akademik.

“Calon-calon yang berhasrat melakukan perubahan dalam cetakan rasmi nama mereka bolehlah memaklumkan kepada JPP secara bertulis melalui email [email protected] sebelum 25 Julai,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, akhbar melaporkan mesyuarat MPT PPBM memutuskan perhimpunan agung tahunan (PAT) pari itu akan berlangsung pada 27 September ini.

Setiausaha agung PPBM, Hamzah Zainuddin berkata, mesyuarat turut menetapkan PAT bagi sayap Pemuda dan Wanita akan berlangsung serentak pada 26 September.

Terdapat 17 calon yang disenaraikan untuk jawatan naib presiden PPBM, termasuk Ronald Kiandee, Mohd Md Redzuan Yusof, Ab Rashid Ab Rahman, Mazlan Bujang dan Mohd Radzi Md Jidin.

Bagi calon ketua Pemuda PPBM pula, 2 calon bertanding, iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Mohd Muzammil Ismail.

Manakala bagi calon ketua Wanita PPBM, terdapat 4 calon dengan salah seorang daripadanya ialah penyandang jawatan itu, Rina Harun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.