Najib gesa Putrajaya naikkan had statutori hutang lebih 55% untuk tangani impak Covid-19

Najib gesa Putrajaya naikkan had statutori hutang lebih 55% untuk tangani impak Covid-19

Najib berkata, dalam tempoh 22 bulan PH memerintah, nisbah hutang kepada KDNK naik sebanyak 6% dan hampir mencecah had statutori 55% yang ditetapkan.

Bekas perdana menteri Najib Razak berkata, kerajaan perlu mempunyai ruang fiskal lebih besar dalam usaha menangani impak ekonomi Covid-19 tanpa mengambil tindakan tidak wajar seperti menjual aset negara.
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak menggesa Putrajaya mengemukakan serta-merta usul bagi menaikkan had statutori hutang 55% susulan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sudah hampir mencecah had berkenaan.

Najib berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mempunyai ruang fiskal lebih besar dalam usaha negara menangani impak ekonomi Covid-19, tanpa perlu mengambil tindakan tidak wajar seperti menjual aset pada nilai aset yang rendah.

“Walaupun aset negara besar, tetapi tempoh Covid-19 ini bukan masa yang sesuai untuk menjual aset negara. Hal ini kerana harga rendah di pasaran. Sebab itu, saya sarankan kerajaan kemukakan usul serta merta untuk naikkan had statutori hutang 55% kepada paras lebih tinggi.

“Kerajaan PN perlu ada ruang fiskal lebih besar untuk melawan impak ekonomi Covid-19 tanpa perlu menjual aset negara,” katanya sewaktu berbahas di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah Najib, dalam tempoh 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah, nisbah hutang kepada KDNK naik sebanyak 6% dan hampir mencecah had statutori 55% yang ditetapkan.

“Bila kerajaan PH mengambil alih, defisit negara meningkat pada tiap-tiap tahun dan kebergantungan negara kepada hasil minyak juga meningkat kepada 33%.

“Akibatnya, nisbah hutang kepada KDNK yang diturunkan kerajaan BN dahulu ke 48.7% pada suku pertama 2018 sebelum PRU14 telah ‘u-turn’ dan naik sehingga ke 54.4% pada akhir suku pertama 2020.

“Dalam 22 bulan semasa PH sahaja, nisbah hutang kepada KDNK negara naik hampir 6%. Kerajaan PN cuma ada ruang sebanyak 0.6% dari KDNK untuk menghadapi cabaran paling besar Covid-19 ini,” katanya.

Pada Jun lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, tahap hutang negara sekarang adalah pada kadar 52% KDNK dan mungkin mencecah 55% pada hujung tahun ini susulan pelaksanaan langkah mengurangkan beban hidup rakyat serta rangsangan ekonomi akibat wabak Covid-19.

Antara langkah yang dilaksanakan Putrajaya adalah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.