
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata jawapan bertulis Menteri Pendidikan Radzi Jidin kepada beliau di Dewan Rakyat menunjukkan ketidaksepadanan data apabila diperiksa dengan data yang dipaparkan pada papan pemuka dalam talian kementerian.
“Kita sebelum ini menyediakan ‘dashboard’ untuk rujukan menteri, rakyat dan juga semua pemegang taruh untuk mereka memantau semua projek pembaikpulihan dan pembinaan sekolah daif,” katanya.
Menurut beliau, pangkalan data kementerian menunjukkan keseluruhan projek pembaikpulihan di seluruh negara berjumlah 781, sementara jawapan rasmi Radzi melaporkan 773 projek.
Beliau berkata menteri juga melaporkan 150 projek siap di Sabah berbanding 141 projek dalam pangkalan data.
“Kementerian Pendidikan perlu membuat penjelasan terhadap perbezaan data. Ini penting kerana ia menunjukkan di situ terdapat sama ada kecuaian atau ketidakseriusan di pihak Kementerian Pendidikan di waktu ini terhadap sekolah daif.
“Kita sebagai pemegang taruh, ahli Dewan, sebagai rakyat, ibu bapa dan para guru, merasakan kita perlu memantau projek yang dilakukan KPM terutama yang berkaitan dengan pembaikpulihan dan pembinaan semula sekolah daif kerana kita perlu memastikan pemerintahan yang baik,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Beliau berkata kerajaan sebelum ini menekankan kemas kini pangkalan data dan maklumat kemas kerana isu sekolah daif adalah keutamaan.
“Kita percaya kualiti pendidikan juga adalah berkait dengan keselesaan dan juga kualiti tempat pembelajaran. Jadi, kita meletakkan keutamaan itu. Pada saya, segala data itu harus tepat dan mencerminkan apa yang berlaku di atas lapangan.”