
Hakim Zaleha Yusof, yang mempengerusikan panel 3 hakim, turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun terhadap seorang warga Indonesia, Ali Saifuddin, 33, atas kesalahan sama.
Mahkamah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk menambah hukuman penjara terhadap bekas anggota tentera, Nor Azmi Jailani, 33, dan Mohd Yusri Mohamed Yusof, 34.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan gagal dalam menambah hukuman penjara terhadap Ali.
Zaleha, yang bersidang bersama-sama hakim Zabariah Mohd Yusof dan Hasnah Mohammed Hashim turut menolak rayuan ketiga-tiga pesalah itu untuk membatalkan sabitan.
Mahkamah turut menolak rayuan Ali, seorang juruteknik dan Mohd Yusri terhadap hukuman penjara, manakala Nor Azmi tidak merayu terhadap hukuman.
Pada 16 Jun 2017, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan ketiga-tiga individu atas dakwaan berkomplot mempromosi aktiviti keganasan di sebuah rumah di Pengkalan Batu Hampar, Mukim Air Putih, Pendang, Kedah, antara 30 Januari hingga 6 April 2015.
Tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan rayuan mereka.
Ketiga-tiga mereka dikatakan terbabit dalam beberapa siri perbincangan dengan anak seorang militan Negara Islam (IS) – Abdul Daud Murad Halimmuddin yang merancang untuk menculik 4 menteri, termasuk perdana menteri ketika itu, Najib Razak sebagai pertukaran kepada pembebasan tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-kangkah Khas) 2012 (SOSMA).
Tiga lagi menteri yang menjadi sasaran ketika itu ialah timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi; menteri pertahanan, Hishammuddin Hussein dan menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin.
Abdul Daud dan bapanya, Murad Halimmuddin Hassan mengaku bersalah selepas didakwa bersubahat mempromosi dan menyokong perbuatan keganasan kumpulan militan IS dan dijatuhkan hukuman penjara masing-masing 12 dan 18 tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2015.
Dalam prosiding hari ini, Ali diwakili peguam Shahredzan Johan, manakala Nor Azmi dan Mohd Yusri masing-masing diwakili peguam, Farida Mohammad dan Quratulain Atiqah Norzahirul Anuar.
Pihak pendakwaan diwakili timbalan pendakwa raya, Faizah Mohd Salleh dan Mohd Zain Ibrahim.