
Yeah Kim Leng dari Sunway University berkata keputusan penetapan gaji minimum yang baru perlu merangkumi syarat untuk kenaikan tahunan.
Namun, beliau akui kenaikan gaji minimum dalam keadaan ekonomi semasa tidak realistik.
“Hanya apabila kadar pengangguran stabil dan kemerosotan pasaran kerja berkurang, kenaikan gaji minimum tidak akan menambah tekanan pada pengangguran,” katanya kepada FMT.
Kadar pengangguran meningkat kepada 5.3% pada Mei daripada 5.0% pada bulan sebelumnya.
Yeah berkata, Putrajaya perlu memberi insentif kepada majikan dan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kompetitif untuk membawa syarikat mereka ke arah pelaburan kemahiran dan kemampuan inovasi.

“Dengan produktiviti dan aktiviti tambah nilai yang lebih tinggi, mereka akan mampu membayar gaji yang lebih tinggi.”
Minggu lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) keseluruhan nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan bagi isi rumah, yang sebelum ini pada kadar RM980.
Ketua Perangkawan Mohd Uzir Mahidin berkata semakan itu selaras dengan penekanan semasa terhadap pengambilan makanan yang optimum dan keperluan asas bukan makanan yang berkualiti.
Bekas pelapor khas kemiskinan tegar dan hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Philip Alston tahun lepas berkata Malaysia menggunakan garis kemiskinan yang terlalu rendah dan ia tidak menggambarkan kos sara hidup.
Yeah menyambut baik garis kemiskinan yang baru, dengan kenaikan yang besar itu dilihat mencerminkan realiti semasa dan kos sara hidup semasa.
Beliau mengaitkan semakan itu dengan laporan Alston dan juga kajian terbaru oleh Bank Negara, yang mendapati anggaran 27% isi rumah di Kuala Lumpur berpendapatan bawah jumlah yang diperlukan untuk taraf hidup minimum.