
Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata republik Singapura bersetuju melaksanakan 2 kategori iaitu laluan hijau timbal balik (RGL) dan pengaturan ulang alik berkala (PCA) bagi memenuhi keperluan pelbagai kumpulan rentas sempadan.
“RGL akan membolehkan perjalanan merentas sempadan untuk tujuan kedua-dua buah negara dalam perniagaan perlu dan urusan rasmi.
“Pengembara yang memenuhi syarat perlu mematuhi peraturan langkah pencegahan Covid-19 dan kesihatan awam yang dipersetujui bersama kedua-dua negara termasuk menjalani ujian tindak balas berantai polimerase (PCR),” kata kenyataan bersama kementerian luar negeri hari ini.
Pengembara juga dikehendaki menyerahkan jadual perjalanan yang terkawal kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, PCA akan membenarkan warga Singapura dan Malaysia yang memegang pas imigresen jangka panjang untuk menjalankan perniagaan dan bekerja.
“Selepas sekurang-kurangnya 3 bulan berturut-turut berada di negara mereka bekerja, mereka boleh kembali ke negara asal untuk bercuti pendek, dan selepas itu masuk semula negara mereka bekerja untuk meneruskan pekerjaan sekurang-kurangnya 3 bulan berikutnya.”
RGL dan PCA dijangka bermula pada 10 Ogos ini, menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, bagi memastikan kelancaran pelan ini, kedua-dua kerajaan bersetuju menyediakan keperluan, protokol kesihatan, dan proses permohonan keluar-masuk 10 hari sebelum pelaksanaan.
“Malaysia dan Singapura juga bersetuju untuk mengembangkan kategori lain sesuai dengan pergerakan rentas sempadan kategori rakyat Malaysia dan Singapura yang berulang alik setiap hari atas urusan kerja, sementara mengambil kira protokol kesihatan dan sumber perubatan,” katanya.