
Lagi khabar duka dari Hollywood. Bintang Glee, Naya Rivera, 33, yang hilang sejak seminggu lalu ditemui terapung di Tasik Piru oleh pasukan penyiasat tempatan pada Isnin.
Rivera dilaporkan hilang seminggu yang lalu ketika dia sedang bercuti dan menaiki bot bersama anak lelakinya, Jossey Hollis Dorsey yang berusia 4 tahun.
Memetik laporan New York Times, Sheriff County Ventura, William Ayub mengatakan mayat Rivera ditemui di permukaan air di bahagian timur laut tasik.
Kedalaman air di kawasan itu adalah di antara 35 dan 60 kaki.
“Tiada sebarang tanda-tanda perbuatan khianat,” ulasnya.
Tambah Sheriff Ayub lagi, jasad itu diyakini sebagai Rivera berdasarkan lokasi penemuan, ciri-ciri fizikal, pakaian, serta mengambil kira tiada orang lain yang dilaporkan hilang di daerah itu.
Autopsi akan segera diadakan bagi mengenalpasti punca kematian.

Sementara itu, bintang-bintang Glee yang lain meluahkan rasa sedih dan kecewa sebaik sahaja berita mengenai penemuan jasad Rivera tersebar.
Malah, produksi-produksi yang pernah berkerjasama dengan Rivera seperti 20th Century, Fox TV, Lionsgate dan Fox Entertainment juga meluahkan rasa simpati kepada keluarga pelakon yang disenangi ramai ini.
Terdahulu, sejak dilaporkan hilang pada 8 Julai, pasukan penyiasat tempatan telah menggunakan semua aset yang ada, termasuklah menggunakan helikopter dan dron bagi menjejak Rivera.
Rivera dan anak lelakinya merupakan satu-satunya individu yang menaiki bot di Tasik Piru ketika insiden berlaku.
Berdasarkan sebuah rakaman video, mereka tiba di jeti dengan sebuah kenderaan SUV, berjalan ke marina dan kemudian menuju ke arah utara dengan menaiki bot di tasik.
Apabila mereka tidak kembali ke jeti tepat pada waktunya, pekerja marina memulakan operasi mencari dan mereka akhirnya menemui anak lelaki Rivera yang sedang tidur keseorangan di dalam bot.
Jaket keselamatan kedua turut ditemui.
Kanak-kanak itu memberitahu bahawa dia dan ibunya berenang bersama-sama, namun dia tidak kembali ke bot.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]