Belum ada saksi yang dipanggil lihat Adib dipukul, kata KPN

Belum ada saksi yang dipanggil lihat Adib dipukul, kata KPN

Kesemua keterangan yang diperoleh oleh polis bersifat dengar cakap dan juga pendapat.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, beberapa isu perlu disiasat dengan lebih lanjut ekoran keputusan inkues yang mengatakan Muhammad Adib Mohd Kassim dipukul dan diserang oleh 2 orang atau lebih.
PETALING JAYA:
Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador hari ini berkata, sehingga kini masih tidak ada saksi yang dipanggil memberi keterangan benar-benar menyatakan melihat bekas anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim dipukul.

Abdul Hamid berkata, kesemua keterangan yang diperoleh pihaknya adalah bersifat dengar cakap dan juga pendapat.

Bagaimanapun katanya, usaha-usaha mengenal pasti pelaku jenayah masih dijalankan, jika ada.

“Beberapa isu perlu disiasat dengan lebih lanjut ekoran daripada keputusan inkues yang mengatakan Adib dipukul dan diserang oleh 2 orang atau lebih.

“Sekiranya benar berlaku serangan seperti mana yang dinyatakan berdasarkan pendapat saksi dan pendapat seorang pakar, pastinya wujud kesan serangan.

“Pasukan siasatan masih lagi memperhalusi perkara ini bagi mendapatkan suspek sebenar atau sebarang petunjuk yang akan memungkinkan tangkapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Abdul Hamid berkata, pasukan siasatan juga menjalankan siasatan lanjut ke atas saksi yang didapati tidak konsisten dalam 3 peringkat rakaman percakapan sebelum ini.

“Begitu juga saksi lain, yang memberikan keterangan dalam inkues kerana ada antara mereka yang sudah mendedahkan beberapa maklumat atau keterangan baru, yang perlu disiasat lanjut.

“Isu ‘dying declaration’ perlu disiasat lanjut oleh pasukan siasatan kerana ia dikemukakan semasa inkues tanpa dicabar atau dinilai kredibiliti serta kesahihannya,” katanya.

Tambahnya, polis juga perlu menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan bagaimana wujudnya “dying declaration”, kemampuan Adib ketika memberikan respons kepada 15 soalan tersebut dan kesahihan kejadian daripada saksi.

“Keputusan inkues yang digariskan pihak koroner cuma merupakan panduan kepada pihak polis setelah mahkamah meneliti keterangan saksi yang dipanggil.

“Polis boleh terus menjalankan siasatan ini melalui pelbagai sudut dan pendekatan bagi menyiasat segala kemungkinan dan seterusnya menyelesaikan kes ini,” katanya.

Jelasnya, terdapat keberangkalian hasil siasatan lanjut tidak akan selaras dengan keputusan Mahkamah Koroner, terutamanya dari sudut tiada keterangan jelas Adib dipukul.

“Serta keterangan mengenai kecederaan Adib yang tidak sepadan dengan corak serangan yang dikatakan dan keterangan pakar yang bercanggah,” katanya.

Abdul Hamid berkata,sehingga kini siasatan kes Adib tidak pernah ditutup dan masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bahkan katanya, tangkapan akan dibuat sekiranya terdapat bukti dan keterangan baru.

“Jumlah tangkapan keseluruhan seramai 108 orang melibatkan 61 kertas siasatan.

“Daripada jumlah itu, 28 orang dituduh di mahkamah membabitkan 8 kertas siasatan berkaitan kes Adib atas pelbagai kesalahan seperti merusuh, mendatangkan cedera, khianat dan menghalang penjawat awam,” katanya.

Pada masa sama, Abdul Hamid berkata, polis menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan tidak menghormati dan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner.

“Tidak ada fakta yang terpesong, tidak benar dan menyimpang dalam sidang media yang dibuat. Segala fakta yang diberikan adalah hasil siasatan dan dapatan terkini. Ia bukan untuk menyanggah hasil daripada keputusan inkues,” katanya.

Abdul Hamid berkata demikian menjawab kenyataan keluarga Adib melalui peguam yang mendakwa polis tidak menghormati serta membuat kenyataan bercanggah dengan keputusan Mahkamah Koroner.

“Perlu diingat, bahawa inkues bukanlah perbicaraan sebenar, tetapi hanya untuk mengetahui apakah yang berlaku melalui saksi. Inkues bukan suatu prosiding di mana ada pihak bertentangan atau berlawanan.

“Dalam proses inkues, kelonggaran juga diberi daripada kaedah keterangan tatacara untuk saksi membuat keterangan. Kredibiliti saksi juga tidak boleh dipertikaikan seperti prosiding mencabar kebolehpercayaan.

“Keputusan Mahkamah Koroner bukanlah mengikat mana-mana pihak untuk mencari bukti dan dapatan baru. Sebaliknya penemuan dan dapatan baru akan dapat menentukan keputusan Mahkamah Koroner sama ada boleh disokong dan diterima sepenuhnya,” katanya.

Pada 27 September tahun lepas Mahkamah Koroner memutuskan Adib menemui ajal akibat perbuatan pihak ketiga yang menyerang dan memukul beliau dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 pada 27 November 2018.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues membuat keputusan itu setelah berpuas hati dengan keterangan saksi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.