
PRU ke-18 diadakan dalam kebiasaan baru dengan sekatan dan peraturan jarak selamat di tengah-tengah wabak Covid-19 yang melanda republik itu.
Digelar “pilihan raya kritikal” kerana ia akan membentuk prospektif Singapura dalam menghadapi cabaran disebabkan oleh virus korona itu yang membawa maut dan menjangkiti lebih daripada 12 juta manusia di seluruh dunia.
Calon Bebas tunggal dan 11 parti politik termasuk parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP), bertanding untuk 17 kawasan perwakilan kumpulan (GRC) dan 14 kawasan pilihan raya perwakilan tunggal (SMC) untuk mengisi 93 kerusi Parlimen.
Sepuluh lagi parti bertanding ialah Parti Pekerja (WP), Parti Kemajuan Singapura (PSP), Parti Demokratik Singapura, Parti Suara Rakyat, Parti Perpaduan Nasional, Parti Reformasi, Parti Rakyat Singapura, Parti Kuasa Rakyat, Parti Red Dot United, dan Perikatan Demokratik Singapura.
Dengan jumlah 2,653,942 pengundi, ini PRU kedua berturut-turut PAP meletakkan calon di semua 31 bahagian pilihan raya.
Antara kerusi panas yang dipertandingkan ialah 2 kawasan GRC 5 anggota iaitu Al-Junied yang disandang oleh WP dan West Coast yang menyaksikan perebutan antara PAP dan parti baru ditubuhkan, PSP yang diketuai oleh Dr Tan Cheng Bock.
Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang juga setiausaha agung PAP dan pasukannya akan bertanding di GRC Ang Mo Kio 5 anggota menentang Parti Reformasi diketuai oleh Kenneth Andrew Jeyaretnam.
Hanya SMC Pioneer dan GRC Pasir Ris-Punggol akan menyaksikan pertembungan 3 penjuru dalam PRU kali ini.
Pada PRU 2015, yang menyaksikan semua kerusi dipertanding buat pertama kali selepas kemerdekaan, PAP menyapu bersih 83 daripada 89 kerusi, memenangi 69.9% undi popular, naik kepada 9.8 mata.