Polis cadang tubuh pasukan khas semak semula kematian Adib

Polis cadang tubuh pasukan khas semak semula kematian Adib

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, polis akan menghantar laporan keterangan semula saksi kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

Mahkamah Inkues mendapati Muhammad Adib Muhd Kassim dibunuh oleh lebih daripada 2 individu tidak dikenali berikutan siasatan selama 41 hari ke atas kematiannya.
KUALA LUMPUR:
Polis akan mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya menubuhkan pasukan petugas bagi meneliti testimoni pakar pathologi berhubung kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Ketua Polis Negara,Abdul Hamid Bador berkata, Mahkamah Koroner sebelum ini memutuskan punca kematian Adib adalah akibat perbuatan jenayah.

Menurutnya, lanjutan keputusan inkues itu, siasatan dijalankan dengan memanggil semula kesemua 30 orang saksi yang terlibat semasa perbicaraan inkues.

Selain itu, seramai 52 saksi baru telah direkod percakapan oleh pihaknya.

“Siasatan juga dibuat dengan memanggil 2 orang pegawai bomba yang berada di tempat kejadian rusuhan itu berhampiran dengan arwah.

“Tetapi pegawai terbabit secara konsisten mengatakan tidak nampak orang yang memukul arwah. Jadi, tiada keterangan yang dapat mengaitkan arwah dibunuh.

“Pakar dari Institut Jantung Negara (IJN) juga sudah hadir bagi dirakam percakapan dan memperakui arwah Muhammad Adib tidak dapat berkomunikasi secara efektif,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini, hari ini.

Hamid berkata, pihaknya juga mengambil semula keterangan salah seorang saksi dalam perbicaraan inkues yang mendakwa melihat Adib dipukul.

Bagaimanapun katanya, ketika keterangan direkodkan beliau memberitahu perkara sebaliknya.

Katanya, polis akan menghantar laporan keterangan semula saksi kepada pihak pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, pihaknya juga bercadang untuk menubuhkan pasukan petugas semakan semula.

“Saya tidak ingin melengahkan. Saya mahu mencari kebenaran, tetapi banyak kekangan, bantulah sekiranya ada maklumat.

“Mustahil tidak ada seorang yang melihat kejadian itu.

“Saya akan berusaha untuk selesaikan kes ini. Sesiapa yang ada makkumat berkenaan kejadian, saya minta tampil bantu kami,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.