Covid-19 tema sambutan Hari Malaysia di Sibu tahun ini

Covid-19 tema sambutan Hari Malaysia di Sibu tahun ini

Menteri Utiliti negeri Stephen Rundi berkata, Sarawak memohon untuk menjadi tuan rumah acara itu sekali lagi tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah dan Menteri Utiliti Sarawak Stephen Rundi mendedahkan logo sambutan Hari Malaysia di Kuching hari ini.
KUCHING:
Sarawak akan menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan 2 tahun berturut-turut pada 16 September tahun ini.

Sambutan itu dengan tema “Malaysia Prihatin” yang menggambarkan perjuangan negara berdepan wabak Covid-19 akan diadakan di Sibu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah.

Bagaimanapun, tidak seperti tahun-tahun lepas, sambutan kali ini tidak akan diadakan di lapangan terbuka, sebaliknya hanya terhad kepada tetamu jemputan berikutan pandemik itu.

Saifuddin turut mendedahkan logo sambutan itu di sini, hari ini. Turut hadir ialah Menteri Utiliti Sarawak Stephen Rundi.

Rundi berkata, Sarawak memohon untuk menjadi tuan rumah acara itu sekali lagi tahun ini.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan kerana memberikan kami penghormatan ini,” katanya.

Beliau berkata, acara tersebut mungkin diadakan di sebuah hotel bagi mengawal kehadiran orang ramai.

Rundi berkata, Sibu dipilih sebagai lokasi kerana Kuching menjadi tuan rumah acara itu tahun lepas, sementara Miri akan menganjurkan sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.