Campak bayi dari tingkat 13, polis tahan wanita, teman lelaki

Campak bayi dari tingkat 13, polis tahan wanita, teman lelaki

Wanita itu memberitahu bayi berkenaan terjatuh ke dalam mangkuk tandas ketika beliau mahu membuang air.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Seorang wanita berusia 18 tahun ditahan polis selepas disyaki mencampak bayi perempuan yang baru dilahirkan dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Bandar Baru Air Itam hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, wanita itu mendakwa beliau sakit perut pada pukul 6.30 pagi.

Katanya, wanita itu memberitahu bayi berkenaan terjatuh ke dalam mangkuk tandas ketika beliau mahu membuang air.

Beliau dipercayai membungkus bayi berkenaan dengan kemeja-T dan mencampakkannya melalui tingkap bahagian belakang pangsapuri di tingkat 13 pada pukul 8.25 pagi.

“Bayi itu ditemui oleh penduduk di tempat letak kereta tingkat 4 dan mereka memaklumkan kejadian kepada polis,” katanya.

Soffian berkata, teman lelaki wanita itu yang berusia 18 tahun ditahan di rumahnya di Jalan Penawar dan pasangan terbabit akan direman untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.