Aizat Amdan pilih peserta ‘Rising Star Indonesia’ sebagai pasangan duet

Aizat Amdan pilih peserta ‘Rising Star Indonesia’ sebagai pasangan duet

Pertemuan di sebuah kem penulisan lagu di Sweden pada Mac lalu membuka jalan kepada Aizat dan Hanin Dhiya berkolaborasi.

Aizat Amdan kini muncul dengan single duet terbaru bersama Hanin Dhiya yang merupakan peserta program realiti nyanyian Rising Star Indonesia.

“Ku Mau” merupakan buah tangan terbaru daripada Aizat Amdan selepas muncul dengan single duet bersama Bunga berjudul “Dup Dup”.

Masih dengan lagu duet, kali ini Aizat terbang lebih jauh dengan berduet bersama artis Indonesia, Hanin Dhiya.

Hanin merupakan bekas peserta akhir rancangan realiti “Rising Star Indonesia” beberapa tahun lalu, dan gadis ini memiliki kekuatan vokal yang serasi dengan gaya vokal Aizat.

Tambah menarik, “Ku Mau” bukan hanya ditulis oleh Aizat dan abangnya sendiri, tetapi ia mendapat sentuhan daripada komposer luar negara iaitu Yeshua Abraham dari Indonesia, Melanie Wehbe, Elias Naslin dari Sweden.

“Lagu ini merupakan lagu yang mengambil masa paling singkat untuk saya hasilkan. Iaitu dalam tempoh 3 hari ketika mengikuti kem penulisan lagu di Sweden tempoh hari.

“Sebagai penyanyi dan penulis lagu, saya memang mengimpikan untuk mengembangkan karya saya dan berkolaborasi demi mendekati pendengar seluruh dunia.

“Saya sangat gembira apabila Hanin sudi menjadi teman duet justeru menaikkan lagi taraf lagu ini dengan vokal beliau yang merdu. Keserasian di antara saya dan Hanin sangat senang dan bersahaja membuatkan lagu ini lebih berwarna- warni.

“Saya harap pendengar akan jatuh cinta dengan lagu ini dan mampu menunjukkan lagu ini kepada orang tersayang,” ulas Aizat.

Sementara itu, Hanin yang turut menghadiri sidang media secara “online” turut meluahkan rasa gembira dengan penghasilan single duet ini.

“Ini kali pertama bagi saya menyanyikan single yang ceritanya bukan lagi tentang patah hati. Pertama kali mendengar lagu ini oleh Aizat ketika di Sweden, saya sudah jatuh cinta dengan rentaknya.

“Asalnya lagu ini berbahasa Inggeris dan saya tidak menyangka yang lagu ini boleh diadaptasikan ke Bahasa Malaysia atau Indonesia dan dijadikan single duet untuk saya dan Aizat Amdan.

“Saya berharap agar pendengar di Malaysia dan Indonesia dapat tersenyum ketika mendengar bait-bait lirik ‘Ku Mau’ kerana ia menampilkan kisah cinta romantis dengan ‘good vibes’,” ujar Hanin yang mengakui dia begitu teruja dengan kolaborasi ini.

“Ku Mau” merupakan terbitan Kasi Gegar Entertainment dan edaran Warner Music Malaysia. Peminat-peminat muzik boleh mendapatkan lagu ini di semua pelantar digital seperti “Spotify”, “Apple Music”, “Joox”, “KKBox”, “Deezer” dan juga “iTunes”.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.