
Pengerusinya Ahmad Jazlan Yaakub berkata, sijil MSPO amat penting kepada pekebun kecil sawit agar komoditi yang dihasilkan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh negara maju, terutamanya di Eropah.
Beliau berkata, setakat ini sebanyak 62,009 pekebun kecil persendirian yang memiliki 243,666 hektar tanaman sawit dan 231,576 pekebun kecil tersusun yang mengusahakan 670,010 hektar tanaman sawit mendapat sijil MSPO.
“Pekebun kecil tersusun amat mudah untuk mendapat MSPO memandangkan mereka berada di bawah seliaan pelbagai agensi kerajaan seperti Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) dan lain-lain.
“Bagaimanapun bagi pekebun kecil persendirian agak sukar kerana MPOB perlu mengadakan pertemuan dan memberi penerangan kepada mereka dan ia akan dilakukan dari semasa ke semasa agar mereka juga mendapat pensijilan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Jom MSPO ngeri Kelantan bersama pengerusi MPOB di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu di sini, hari ini.
Hadir sama pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan,Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri Mohamed Fadzli Hassan; ketua pengarah MPOB Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) Muhtar Suhaili.
Jazlan berkata, mana-mana pekebun kecil yang tidak mempunyai sijil MSPO boleh dikenakan denda dan kompaun di bawah Peraturan 15 Akta MPOB, selain boleh menyebabkan lesen mereka ditarik balik.
Beliau berkata walaupun kerajaan masih belum memutuskan jumlah denda yang akan dikenakan di bawah peraturan berkenaan ke atas mana-mana pekebun kecil yang masih belum mempunyai MSPO, namun peraturan berkenaan bermula sejak 1 Julai lepas.
Menurutnya, bermula 1 Jan, 2021, MPOB akan mula memberi peringatan kepada pekebun kecil yang masih gagal memenuhi syarat yang ditetapkan sebelum kompaun dikeluarkan pada 1 Julai 2021 jika masih ingkar.
“Bermula 1 Jan, 2022 pula, sekiranya pekebun kecil masih ingkar, kita akan ambil tindakan lebih tegas, termasuklah menarik lesen mereka, selain memastikan kilang tidak membeli buah sawit yang dikeluarkan.
“Pekebun kecil tidak perlu risau kerana kerajaan memperuntukkan sebanyak RM135 sehektar bagi menampung kos dalam usaha membantu pekebun mendapatkan sijil berkenaan,” katanya.