
Denison Jayasooria, felo penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, Alston mendedahkan bagaimana dasar kerajaan gagal sampai kepada kumpulan sasaran.
“Alston adalah profesor undang-undang dan ahli akademik yang disegani. Beliau mempunyai pasukan penyelidik dan turut bertemu dengan banyak pegawai kerajaan, ahli akademik dan anggota masyarakat sivil ketika melakukan lawatan ke pelbagai lokasi.
“Wujud wajah baru pada kemiskinan dan ketaksetaraan. Kita perlu kembali kepada kumpulan sasaran tertentu dan memastikan mereka termasuk proses dasar dengan cara yang lebih tersasar,” katanya kepada FMT.

Jayasooria, yang juga seorang penganalisis dasar berkata, Alston mencabar kerajaan supaya memperjuangkan golongan miskin dan menangani kemiskinan secara holistik melalui campur tangan dasar awam.
Katanya, pandemik Covid-19 dan tempoh sekatan pergerakan secara khusus telah mendedahkan realiti kemiskinan, terutama bagi mereka yang memperoleh gaji harian berikutan kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.
“Kerajaan tidak boleh menafikannya. Kita perlu membuka mata untuk melihat golongan miskin dalam kalangan kita. Mereka mungkin tersembunyi, tetapi realitinya wujud, walaupun ada yang mengatakan, berdasarkan data, tiada golongan miskin.”
Beliau juga menyambut baik pengakuan Mustapa Mohamed bahawa kadar kemiskinan akan meningkat seiring dengan pendapatan perkapita individu.
Ini kerana jelasnya, menteri yang bertanggungjawab berhubung hal ehwal ekonomi mempunyai pengalaman dalam memerangi kemiskinan.
Jelasnya lagi, Mustapa menubuhkan Pusat Pengajian Kemiskinan Ungku Aziz Universiti Malaya, yang kini dikenali sebagai Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz, semasa menjadi menteri pendidikan tinggi.
“Masalahnya ialah menteri sebelumnya yang bertanggungjawab ke atas unit perancangan ekonomi menolak laporan itu,” tambahnya.
Beliau bercakap mengenai keperluan indeks kemiskinan pelbagai dimensi dan kukuh dengan berkata, Malaysia perlu menanda aras kedudukannya berbanding negara maju dan membangun, bukannya negara miskin.
Katanya, Putrajaya memiliki banyak institusi sedia ada yang perlu diteliti bagi memastikan dasarnya dilaksanakan secara berkesan dan cekap.
Beliau juga meminta agar penyelidik diberi lebih banyak akses kepada data mengenai kemiskinan di negara ini dan menyarankan agar kerajaan menubuhkan panel pakar perunding bagi memantau pelaksanaan dasar.
“Golongan miskin akan sentiasa ada bersama-sama kita, tetapi kita harus mengubah strategi dan pendekatan bagi memastikan mereka juga dapat mengalami pemerkasaan dan pembinaan ketahahan bagi memastikan tiada yang tertinggal.”
Isnin lalu, Alston mendakwa Putrajaya menarik balik komitmen pentadbiran sebelum ini untuk melihat kemiskinan secara serius dengan berkata, perdana menteri sebelum ini komited untuk mengkaji semula garis kemiskinan kebangsaan pada paras 0.4%.
“Bagaimanapun respons kerajaan baru terhadap (laporan itu) menimbulkan meragukan terhadap komitmen itu, dengan berkata ‘ia tertakluk pada kadar kemiskinan mutlak’,” katanya dalam satu kenyataan, merujuk kepada komen yang dibuat semasa Perhimpunan Agung PBB tahun ini.
Alston mengunjungi Malaysia dari 13 hingga 23 Ogos tahun lalu dan mengunjungi Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak, Sabah dan Kelantan.
Beliau bertemu pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, agensi antarabangsa, masyarakat awam, ahli akademik dan mereka yang terjejas dengan kemiskinan di bandar dan luar bandar.
Beliau berkata, garis kemiskinan rasmi Malaysia – yang terendah di dunia – tidak menggambarkan kos sara hidup di negara ini dan mengabaikan populasi yang berisiko.
Mohamed Azmin Ali, yang merupakan menteri hal ehwal ekonomi pada masa itu berkata, kadar tersebut adalah berdasarkan buku panduan yang diterbitkan oleh PBB sendiri.
“Kami berpegang pada kadar kemiskinan mutlak, iaitu pada paras 0.4% daripada jumlah isi rumah pada 2016, atau 24,700 isi rumah,” katanya.