Pembuat sarung tangan WRP janji bayar balik yuran ambil pekerja

Pembuat sarung tangan WRP janji bayar balik yuran ambil pekerja

Setiap pekerja dijangka menerima bayaran antara RM4,547 hingga RM16,054 dalam 30 bulan berikutnya.

Pekerja WRP mengadakan protes berhubung gaji, jaminan pekerjaan dan kebimbangan lain di kilang pembuat sarung tangan getah itu di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 6 Jan lalu.
PETALING JAYA:
Pembuat sarung tangan, WRP Asia Pacific Sdn Bhd (WRP) memulakan program memulangkan yuran pengambilan kepada kira-kira 1,600 pekerja asingnya yang dipercayai sebagai program pertama kali dilaksanakan di negara ini.

Difahamkan, kira-kira AS$5 juta (RM21.4 juta) akan dibelanjakan untuk program itu yang dijangka dilaksanakan setiap suku tahun.

Setiap pekerja dijangka menerima bayaran antara RM4,547 hingga RM16,054 dalam 30 bulan berikutnya.

Pekerja asing sering dipaksa membayar yuran pengambilan sangat tinggi kepada ejen untuk mencari pekerjaan dalam sektor seperti perladangan, pembinaan atau pembantu rumah di Malaysia.

Mereka terpaksa menanggung hutang banyak kerana ada yang mengambil pinjaman berfaedah tinggi, menjual hartanah atau harta lain untuk membayar yuran itu, tambahan kepada pembayaran semula bulanan yang tinggi kepada agensi pekerjaan.

Program itu sebahagian daripada usaha WRP untuk memenuhi syarat ditetapkan agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat kepada WRP, satu daripada pengeluar sarung tangan getah terkemuka di Malaysia, bagi meneruskan eksportnya ke AS.

CBP mengeluarkan perintah sekatan pengeluaran (WRO) yang melarang WRP mengeksport sarung tangan getah pakai buangnya ke AS pada September 2019, selepas mendakwa syarikat itu menggunakan buruh paksa.

Larangan itu dibatalkan Mac lalu berdasarkan maklumat yang diperolehi CBP menunjukkan syarikat itu tidak lagi mengeluarkan sarung tangan getah menggunakan buruh paksa dan permintaan meningkat untuk sarung tangan susulan penularan Covid-19.

“Saya membayar kira-kira 120,000 rupee Nepal (sekitar RM4,280) kepada sebuah agensi untuk datang ke Malaysia, dan ini (program pembayaran) cukup untuk bayaran balik itu sepenuhnya,” kata seorang pekerja WRP kepada FMT.

“Saya sangat gembira. Saya dapat RM114 minggu lalu dan keseluruhannya saya akan dapat RM4,547.

“Bayaran daripada WRP akan dibuat setiap 3 bulan, dan disebabkan kontrak saya akan tamat pada April 2021, WRP kata mereka akan memasukkan bakinya ke akaun sebelum saya pergi.”

Seorang lagi pekerja mengesahkan bayaran awal daripada WRP diterima minggu lalu dan beliau akan dibayar RM4,547 secara keseluruhan.

“Saya terima RM114 dalam akaun bank saya minggu lalu dan saya sangat gembira kerana ini akan membantu melangsaikan hutang saya.

“Saya akan terima baki bayaran secara ansuran – 2 kali lagi tahun ini, 4 kali pada 2021 dan 4 kali lagi pada 2022,” katanya.

Tindakan membuat bayaran pada minggu lalu berbeza dengan tajuk laporan berita negatif pada Januari 2019 apabila hampir 2,000 pekerja Nepal mengadakan mogok 3 hari selepas mendakwa mereka tidak dibayar gaji selama 3 bulan.

Hasil siasatan Jabatan Buruh mendapati WRP bersalah kerana menahan gaji pekerja, tidak membayar elaun lebih masa, memotong gaji secara tidak adil dan bekerja pada waktu rehat atau cuti umum.

Keadaan bertambah buruk apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyerbu premis syarikat itu bulan lalu dalam sebahagian siasatan ke atas dakwaan penyelewengan dana oleh bekas ketua pegawai eksekutifnya (CEO) yang disingkirkan November tahun lalu selepas dakwaan salah tadbir urus oleh lembaga pengarah syarikat itu.

Lembaga pengarah baru WRP, yang mengambil alih syarikat itu Januari lalu, berkata ia menemui “isu cukup besar” dengan bantuan pengaudit forensik.

Selain mendakwa CEO itu enggan menjawab kepada lembaga pengarah dan didakwa mahu menutup syarikat itu, lembaga pengarah mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana pecah amanah membabitkan RM8.4 juta.

Dalam satu kenyataan kepada FMT berhubung program pembayaran yuran pengambilan itu, peguam WRP, Firma Guaman Thomas Philip berkata, mereka “komited membuat bayaran setimpal kepada pekerja”.

Selain keutamaannya untuk memastikan perkara berkaitan pekerjanya diselesaikan, WRP berkata, ia turut bekerjasama dengan sebuah organisasi antarabangsa bagi memastikan “semua perkara dilakukan secara jujur” dan adil terhadap semua pihak.

Sementara itu, ditanya peranannya dalam program pemulihan itu, CBP memberitahu FMT apabila pengeluar menyerahkan petisyen untuk mengubah atau membatalkan WRO, petisyen sedemikian biasanya termasuk dalam rancangan pemulihan mereka – yang merupakan arahan kepada pelabuhan AS untuk menahan barang dagangan tidak stabil sifatnya ke AS.

“Apabila mengkaji petisyen untuk mengubah atau membatal WRO, CBP merujuk bukti yang menunjukkan pengeluar sudah menyelesaikan atau memperbaiki petunjuk buruh paksa bagi membuktikan barang dagangan tidak lagi dihasilkan buruh paksa,” kata jurucakap CBP kepada FMT.

“Jika CBP mendapati bukti yang dikemukakan pengeluar mencukupi, agensi akan mengubah atau membatalkan WRO itu.”

Permintaan sarung tangan dari Malaysia, pembekal sarung tangan getah terbesar di dunia, melonjak susulan penularan pandemik Covid-19.

Bulan lalu, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia berkata, ia menjangkakan penggunaan sarung getah dunia akan meningkat lebih 11% kepada 330 bilion keping tahun ini – 2/3 mungkin dihasilkan di Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.