Rohingya ditahan tak bawa risiko tambahan Covid-19, kata badan perubatan

Rohingya ditahan tak bawa risiko tambahan Covid-19, kata badan perubatan

Doktor Tanpa Sempadan mempersoalkan rancangan menghantar 269 pelarian Rohingya kembali ke laut selepas bot mereka dibaiki.

UNHCR menganggarkan lebih 100,000 pelarian Rohingya di Malaysia, walaupun kumpulan hak asasi berkata jumlah itu lebih tinggi.
PETALING JAYA:
Badan perubatan kemanusiaan, Doktor Tanpa Sempadan (MSF) menggesa Putrajaya tidak mengusir pelarian Rohingya di negara ini yang tidak mendatangkan risiko tambahan Covid-19 kerana mereka sudah menjalani ujian saringan dan dikuarantin.

MSF dalam kenyataan yang ditandatangani Ketua Misinya di Malaysia, Beatrice Lau berkata sebarang langkah menghantar 269 pelarian Rohingya kembali ke laut selepas bot mereka dibaiki akan melanggar prinsip “non-refoulement” di mana Malaysia terikat kepada undang-undang adat antarabangsa.

“Refoulement” bermakna memaksa pelarian pulang ke tempat di mana mereka berisiko mengalami penganiayaan yang melanggar undang-undang hak asasi dan kemanusiaan antarabangsa.

“Paling membimbangkan ialah pihak berkuasa tetap tahu ramai daripada lelaki, wanita dan kanak-kanak ini mungkin mati jika mereka didesak kembali ke laut, sama seperti yang ramai lakukan dalam perjalanan ke Malaysia.

“Pihak berkuasa Malaysia patut bersuara secara terbuka terhadap dakwaan ini untuk membuktikan ia tidak berasas dan menunjukkan rasa hormat terhadap nyawa, maruah manusia dan undang-undang antarabangsa.”

Awal bulan ini, Reuters melaporkan kerajaan sedang mempertimbangkan rancangan menghantar etnik Rohingya yang ditahan selepas tiba dengan sebuah bot rosak, kembali ke laut sebaik saja bot itu dibaiki.

Sumber keselamatan berkata, satu rancangan sudah dirangka, tetapi belum ada keputusan dibuat berhubung perkara itu.

Mereka berkata, bot itu akan dibekalkan makanan dan air minuman, jika rancangan itu diluluskan.

MSF berkata, laporan itu “satu lagi perkembangan membimbangkan” dalam operasi kerajaan ke atas migran dan pemohon suaka.

Katanya, jika rancangan itu diluluskan, ia menandakan “kedalaman baru dalam kekejaman ke atas individu yang memerlukan perlindungan” dan tawarannya untuk menyokong pihak berkuasa dengan menyediakan rawatan perubatan kepada pelarian kekal.

Jumaat lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, Malaysia tidak lagi dapat menampung lebih ramai pelarian kerana sumber dan kapasitinya sudah mencapai hadnya, ditambah dengan pandemik Covid-19.

Beliau menggesa Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bekerjasama erat dengan Asean untuk mempercepatkan proses penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga.

UNHCR menganggarkan lebih 100,000 pelarian Rohingya di Malaysia, walaupun kumpulan hak asasi berkata jumlah itu lebih tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.