Lanjut moratorium pinjaman hanya untuk golongan memerlukan, kata AmBank

Lanjut moratorium pinjaman hanya untuk golongan memerlukan, kata AmBank

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, lanjutan moratorium bersasar adalah terpulang kepada bank.

Ketua pegawai eksekutif AmBank berkata, hanya golongan memerlukan wajar diberikan lanjutan tempoh moratorium ke atas pinjaman. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
AMMB Holdings Bhd (AmBank Group) berhasrat menyediakan moratorium bersasar bagi pembayaran semula pinjaman bank kepada pelanggannya selepas tempoh moratorium selama 6 bulan berakhir, kata ketua pegawai eksekutifnya Sulaiman Mohd Tahir.

Beliau berkata, lanjutan pelepasan pembiayaan secara menyeluruh bukanlah langkah wajar, mengambil kira persekitaran yang berbeza semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika kes Covid-19 memuncak, berbanding pasca PKP apabila perniagaan kembali menyambung semula operasi dalam fasa pemulihan.

“Kita perlu melihat kepada segmen tertentu dan kumpulan rakyat yang memerlukannya. Saya pasti bank berada dalam kedudukan untuk turut membantu dari segi mereka yang amat terjejas akibat (pandemik itu).

“Bagaimanapun saya rasa tidak wajar untuk memberikan moratorium menyeluruh seperti yang kita laksanakan sebelum ini kerana pada masa itu ketika PKP, situasinya agak teruk.

“Namu, keadaan berubah. Pasca PKP, kita menyaksikan aktiviti dan perniagaan meningkat, malah beberapa perniagaan berkata, mereka tidak lagi memerlukan moratorium kerana memulakan aktiviti seperti biasa,” katanya dalam sidang akhbar maya selepas mengumumkan keputusan kewangan kumpulan bagi 2020 hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, lanjutan moratorium bersasar adalah terpulang kepada bank, sambil menekankan bank tidak boleh dipaksa untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, bank perlu mengkaji bantuan yang disasarkan tetapi menekankan bank tidak boleh dipaksa untuk berbuat demikian berikutan ia dalam bidang kuasa mereka.

Sementara itu, keuntungan bersih AmBank Group merosot 10 .9% kepada RM1.34 bilion bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Mac, 2020 berikutan pendapatan suku akhirnya terjejas akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, perolehan menokok kepada RM9.32 bilion daripada RM9.12 bilion pada tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan pertumbuhan pendapatan faedah bersih dan pendapatan bukan faedah.

Pinjaman kasar dan asas pembiayaan kumpulan meningkat 5.3% tahun ke tahun kepada RM107.2 bilion dengan pertumbuhan yang pelbagai dalam semua segmen dan produk, tanpa pembiayaan auto.

Dengan pengecualian pembiayaan auto, pinjaman kasar kumpulan itu tumbuh 8.7% pada tahun kewangan 2020.

Pinjaman gadai janji sebagai pemacu utama kepada pertumbuhan pinjaman meningkat RM2.4 bilion atau 7.0 peratus pada tahun ini.

Ini diikuti pinjaman kepada segmen PKS dan korporat pertengahan, pinjaman perbankan perniagaan bertambah 12.9%, korporat pertengahan 9.5% dan PKS runcit 34.8%.

Sulaiman berkata, bank itu menyasarkan pertumbuhan pinjaman antara 3.0% dan 4.0% bagi tahun kewangan ini iaitu lebih tinggi daripada pertumbuhan industri yang dijangkakan iaitu antara 0.4% dan -2.5%.

Menurutnya, pertumbuhan pinjaman tidak mencatatkan perubahan pada masa ini kerana tidak banyak aktiviti di pasaran dan kumpulan itu masih mempunyai beberapa pembayaran balik.

“Ia akan mengambil sedikit masa untuk ekonomi pulih kembali. Sudah pasti, kami berharap pemulihan berbentuk V agar kami boleh menjalankan perniagaan, namun ini adalah persoalan mengenai sistem dan situasi di dunia.

“Kami agak positif melihat unjuran dalam bulan terbaharu, terutamanya selepas PKP. Kami melihat sebahagian permohonan daripada sektor-sektor tertentu seperti pengilangan untuk membeli jentera. Ia adalah isyarat positif dan kami berharap ia akan berterusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.