
Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu supaya mahkamah boleh dimaklumkan mengenai kedudukan kes tertuduh di AS.
Beliau turut mengekalkan tarikh perbicaraan sebelum ini, iaitu 9 hingga 13 Nov tahun ini.
Ng, 47, menghadapi 4 pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs berhubung penjualan nota jaminan dan bon anak syarikat 1MDB bernilai AS$6.5 bilion.
Terdahulu, Tan Hock Chuan yang mewakili Ng berkata, beliau dimaklumkan pengurusan kes Ng ditetapkan bulan depan di mahkamah “Eastern District” di New York.
Bagaimanapun, peguam itu memaklumkan beliau tidak terbabit dalam kes anak guamnya di AS.
“Saya tidak bercadang menghadiri perbicaraan (di AS). Ada pengurusan kes di sana pada Julai dan mahkamah di New York akan menetapkan tarikh perbicaraan.
“Apabila saya tahu, saya boleh memaklumkan, tetapi pihak peguam negara dalam kedudukan lebih baik untuk memaklumkan yang terkini kerana mereka saling berhubung dengan Jabatan Kehakiman AS (DoJ).”
Timbalan Pendakwa Raya, Zaki Asyraaf Zubir mewakili pendakwaan.
Pada 19 Dis 2018, Ng menghadapi 4 pertuduhan bersubahat dengan Goldman Sachs di Mahkamah Sesyen di sini berhubung penjualan nota jaminan dan bon milik anak syarikat 1MDB bernilai AS$6.5 bilion, dengan mengeluarkan fakta material serta mengemukakan pernyataan palsu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat 1MDB, Aras 8, Menara IMC, No 8, Jalan Sultan Ismail, di sini antara 19 Mac 2012 hingga 11 Nov 2013, di bawah Subseksyen 370(c) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM1 juta, jika sabit kesalahan.
Ng bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan itu.
Mei tahun lalu, Ng diekstradisi ke AS bagi menghadapi pertuduhan jenayah oleh DoJ berkaitan skandal 1MDB.