
Presiden Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, desakan Malaysia supaya Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bekerjasama erat dengan Asean bagi mempercepatkan proses penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga belum memadai.
“Permintaan Malaysia kepada UNHCR supaya bekerjasama erat dengan Asean bagi mempercepatkan proses penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga tidak memadai kerana dalam situasi wabak Covid-19 amat sukar untuk berbuat demikian.
“Sepatutnya perdana menteri meminta Asean supaya fokus menekan Myanmar menyelesaikan krisis itu dengan mematuhi undang-undang antarabangsa.
“Pilihan utama adalah selesaikan konflik, sekat penyeludupan pelarian , kembalikan kewarganegaraan mereka,”katanya kepada FMT.
Beliau mengakui negara lain perlu mengambil tanggungjawab untuk menempatkan pelarian Rohingya ke negara ketiga, tetapi ia bukan isu utama, sebaliknya usaha perlu dibuat bagi mencari penyelesaian jangka panjang.

“Yang sepatutnya dibincangkan ialah menyelesaikan isu tersebut pada puncanya, iaitu menghentikan penindasan dan mengembalikan kerakyatan mereka (etnik Rohingya) sebagai warga Myanmar,” katanya,
Mengulas pendirian perdana menteri bahawa Malaysia tidak mampu menampung bilangan pelarian yang ramai, Azmi berkata, negara perlu mencari jalan bagi menyelesaikan isu tersebut atas dasar tanggungjawab kemanusiaannya.
“Kapasiti Malaysia memang terhad. Akan tetapi bila berhadapan dengan situasi genting melibatkan nyawa manusia, terutama wanita dan kanak-kanak, langkah menyelamatkan nyawa mereka tidak dapat dielakkan.
“Walaupun Malaysia bukan negara pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, kami berpendapat ia tidak dapat mengelakkan tanggungjawab kemanusiaan,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya bersetuju dengan langkah Muhyiddin membangkitkan isu penyeludupan, pemerdagangan manusia dan perhambaan dalam Sidang Kemuncak Asean ke-36 semalam.
“Memerangi dan membendung untuk mencegah dan menghukum anggota sindiket pemerdagangan manusia yang mengeksploitasi mangsa pelarian perlu dibuat di peringkat Asean.
“Kenyataan perdana menteri adalah munasabah, tetapi lebih penting ialah melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan walaupun terpaksa berkorban sebahgian kecil sumber negara,” katanya.
Dalam sidang kemuncak yang julung kali diadakan secara maya semalam susulan pandemik Covid-19, Muhyiddin berkata, Malaysia meminta UNHCR bekerjasama erat dengan Asean bagi mempercepatkan proses penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga.
Beliau berkata, kesan limpahan krisis wilayah Rakhine terus memberi impak kepada rantau ini, justeru Asean perlu mencari penyelesaian yang berkesan bagi masalah itu.
Katanya, Malaysia tidak dapat menampung lebih ramai pelarian kerana sumber dan kapasitinya sudah mencapai had, ditambah pula dengan pandemik Covid-19.
“Adalah tidak adil mengharapkan Malaysia melakukan lebih banyak usaha untuk menampung kedatangan pelarian ke negara ini, kata Muhyiddin.
Kerjasama kerajaan pusat dan negeri tangani isu pendatang
Dalam pada itu, Azmi turut mencadangkan supaya kerajaan kerajaan negeri dan pusat bekerjasama membentuk sebuah jawatankuasa khas untuk menangani isu pendatang asing di negara ini dengan mengambil kira tanggungjawab kemanusiaan, undang-undang antarabangsa dan kepentingan negara.
“Kami menyokong penubuhan jawatankuasa khas di peringkat Parlimen yang bertujuan meneliti masalah pendatang asing demi menjaga kebajikan mereka serta merangka polisi yang wajar untuk diguna pakai oleh kerajaan,”katanya.
Katanya, masyarakat tempatan juga perlu dididik mengenai isu pelarian yang mengharungi nasib yang sukar di seluruh dunia, rantau dan lokaliti akibat konflik serta penindasan yang berlaku ke atas mereka.
“Kami menolak sikap xenofobia dalam kalangan masyarakat yang menyebarkan sentimen kebencian serta menyemarakkan rasa permusuhan yang boleh mencetuskan ketegangan awam dalam mengendalikan isu pendatang tanpa izin.
Kumpulan itu juga menyeru kerajaan supaya memeriksa keadaan pendatang, terutama pelarian yang ditahan di Depoh Tahanan Imigresen bagi memastikan hak asasi mereka terpelihara, terutama wanita dan kanak-kanak.