Ariff sahkan terima usul PM ganti speaker, timbalan speaker Dewan Rakyat

Ariff sahkan terima usul PM ganti speaker, timbalan speaker Dewan Rakyat

Nga Kor Ming dilaporkan berkata, usul oleh Muhyiddin sudah dimasukkan dalam agenda Dewan Rakyat yang akan bersidang pada 13 Julai ini.

Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan menerima usul Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengantikan beliau dan timbalan speaker Nga Kor Ming.
PETALING JAYA:
Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof mengesahkan langkah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengemukakan usul untuk menggantikan beliau dan timbalannya Nga Kor Ming.

“Ya. Jangan tanya saya lagi. Sila tanya perdana menteri dan menteri undang-undang untuk butiran lebih lanjut,” kata Ariff seperti dilaporkan oleh portal Malay Mail.

Manakala itu, Nga pula dilaporkan berkata, usul yang dikemukakan oleh Muhyiddin itu sudah dimasukkan dalam ke agenda Dewan Rakyat dan semua usul yang mematuhi peraturan Parlimen akan ditangani secara adil.

Beliau berkata, tindakan Muhyiddin itu bagaimanapun adalah di luar kebiasaan amalan Parlimen kerana ia kali pertama perdana menteri mencadangkan untuk menyingkirkan speaker dan timbalan speaker.

“Menurut konvensyen Parlimen, kedudukan speaker biasanya dikosongkan dalam salah 1 daripada 3 keadaan, iaitu ketika Parlimen dibubarkan untuk pilihan raya umum, ketika speaker meninggal dunia atau ketika speaker mengundurkan diri.

“Ketiga-tiga situasi ini tidak terjadi,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

Sebelum ini akhbar harian berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau melaporkan Muhyiddin akan mengemukakan usul untuk menggantikan Ariff dan Nga pada 13 Julai depan, iaitu hari pertama persidangan Dewan Rakyat akan datang bermula.

Muhyiddin yang merupakan ahli Parlimen dilaporkan menyerahkan usul itu pada jam 4.50 petang semalam, 10 minit sebelum tempoh tamat berakhir.

Ariff dan Nga dilantik ke jawatan masing-masing berikutan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.